Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA SEHINGGA 9/12/2017

Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA SEHINGGA 9/12/2017
PERDASAMA Satu Pasukan Satu Tujuan

Friday, November 1, 2013

Intipati Bajet 2014 oleh Yang Amat Berhormat Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Salam 1Malaysia,

Saya telah membentangkan Bajet 2014 Jumaat lepas. Bajet “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi Dan Melaksana Janji” ini dirangka demi memastikan ekonomi negara kekal mapan, walaupun pasaran ekonomi global tidak menentu kebelakangan ini.

Saya sedar bahawa kos sara hidup adalah sesuatu yang sangat penting bagi anda, berdasarkan maklum balas yang telah anda berikan. Justeru itu, pelbagai inisiatif telah diperluas dan dipertingkatkan bagi menangani isu ini.

Untuk golongan berpendapatan rendah, penambahbaikan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dilaksanakan. Bagi membantu golongan berpendapatan sederhana pula, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khas RM2,000 ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2013 bagi yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan. 

Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima teras utama.
Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar
Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat


Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana
79. Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah PKS yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi baru PKS yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS berdaftar dijangka meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, Kerajaan komited untuk mempastikan sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
80. Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS, Kerajaan mencadangkan peruntukan pakej bersepadu sebanyak 120 juta ringgit yang merangkumi dana pinjaman untuk membiayai program mekanisasi dan automasi serta program peningkatan kapasiti PKS. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif di bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan, insentif cukai dan perolehan termasuk:
Pertama: Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau jumlah maksimum 200 ribu ringgit setahun;
Kedua: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah insentif pinjaman mudah;
Ketiga: Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan 1-InnoCERT;
Keempat: Insentif perolehan Kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam penilaian teknikal; dan
Kelima: Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.
Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini sehingga 31 Disember 2017.

Pemerkasaan Bumiputera
174. Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama semua, terutamanya kaum majoriti Bumiputera. Kerajaan komited untuk terus memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai agenda Nasional.
175. Untuk itu, program yang akan dilaksanakan termasuk mempergiat program peningkatan kemahiran kepada belia, Program Peneraju Profesional serta meningkatkan bilangan pengambilan pelajar UiTM kepada 250 ribu menjelang 2020.
176. Syukur Alhamdulillah, terkini jumlah pelajar UiTM sudahpun mencecah jumlah 180 ribu orang. Selain itu, pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.
177. Untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi sebanyak 300 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
178. Di samping itu, dana 200 juta ringgit disediakan oleh SME Bank bagi kemudahan pinjaman untuk program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat. Kemudahan ini akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup seiring dengan pembangunan pesat di kawasan persekitaran.
179. Kerajaan terus meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulaan 30 juta ringgit.
180. Di samping itu, bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat anchor terutama syarikat berkaitan Kerajaan diberi potongan cukai dua kali.

181. Seterusnya, bagi meningkatkan peluang perniagaan dan pembiayaan kepada entreprenur PKS, kemudahan pembiayaan pinjaman mudah turut disediakan. Antara kemudahan pembiayaan termasuk dana Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah 300 juta ringgit dan dana sebanyak 700 juta ringgit di bawah TEKUN.

No comments: