Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA

Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA
PERDASAMA Satu Pasukan Satu Tujuan

Tuesday, October 28, 2014

Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014


Hari Selasa 28hb Oktober, 2014 diMECC, Matrade, Jalan Duta, KL bermula jam 10-00 pagi.
HARI 1 (MAJLIS PERASMIAN / PERSIDANGAN / PAMERAN / PADANAN PERNIAGAAN)
11.00 – 11.30 am        Bacaan Doa
                                    Lagu Negaraku
                                    Lagu UiTM
                                    Lagu PERDASAMA
11.30 am                     Kertas 1
                                    YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh (Renaissance Melayu)
                                    Pengerusi : YBhg Dato’ Dr Hassan Mad

12.15 tengahari           Kertas 2
                                    YBhg Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim
                                    (Takrif Warisan dan Produk Tamadun Bangsa)
                                    Pengerusi : YBhg. Dato’ Sri Matshah Safuan

1.00 – 2.30 pm            ‘Luncheon Talk’ oleh
                                    YB Senator Tan Sri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam
                                    (Membangun Usahawan Warisan dalam Negara dan Sedunia)
                                    Pengerusi : YBhg. Datuk Seri Azman Ujang

                                    MAJLIS PERASMIAN
2.45 pm                       Ketibaan para jemputan
3.00 pm                       KetibaanYAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin
                                    Timbalan Perdana Menteri Malaysia
3.00 pm                       Ucapan Aluan oleh Pengerusi Bersama Kongres
                                    Dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014
                                    YBhg Datuk Haji Naim Bin Datuk Hj Mohamad
                                    (Prof Madya Dr Faizah Abdul Majid)
3.10 pm                       Ucapan Penganjur Bersama :
                                    YBhg Tan Sri Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, FASc
                                    (YBhg Dato’ Moehamad Izat Emir)

3.20 pm                       Ucapan Perasmian oleh
                                    Y AB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin
                                    Timbalan Perdana Menteri Malaysia

3.50 pm                       Penyampaian Cenderamata kepada Timbalan Perdana
                                    Menteri Malaysia oleh Presiden PERDASAMA dan
                                    Naib Canselor UiTM

4.00 pm                       Lawatan ke tapak pameran


Saturday, October 11, 2014

BAJET 2015 dibentangkan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak

1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi
Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n. Diiring pula selawat serta salam

ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama
berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan
setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah-Nya, bagi saya
membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar
dapat didengar dan dihadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan
Rakyat Malaysia seluruhnya.

2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili
pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke-
Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri
Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri
ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan
solihat.
3. Saya turut ingin mengambil kesempatan pada petang
Jumaat penuh barakah, penghulu segala hari, mengucapkan
selamat kembali ke tanahair kepada YAB Timbalan Perdana
Menteri beserta para hujjaj lain, yang telah selesai menunaikan
fardhu haji. Moga-moga beruntunglah di atas kurniaan Haji Akbar
yang Mabrur hendaknya.

Tuan Yang Dipertua,

4. Secara sedar ataupun tidak, sepanjang hampir 60 tahun
merdeka, kita telah merencana pelbagai rancangan jangka
pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memakmurkan
negara. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi
telah melalui segala macam strategi yang disusun kemas lagi
sistematik. Jika tidak, mana mungkin Malaysia sampai pada
tahap yang ada pada hari ini.
5. Cumanya, ramai yang tidak begitu sedar bahawa proses ini
bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi terjadi dengan
semena-mena. Suka atau tidak suka, dalam tempoh yang bukan
sekejap, ia menagih ikhtiar-ikhtiar yang cukup banyak, meliputi
rencana-rencana yang menyeluruh, dengan segala jerih payah,
kepahitan, terutamanya apabila wajarnya diambil ketetapanketetapan
dan keputusan-keputusan yang tidak popular. Namun,
semuanya itu, perlu diperbuat dan diperlakukan oleh pihak
Kerajaan yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti, demi
mendahulukan kepentingan rakyat sejak dulu, kini dan
selamanya.

Tuan Yang Dipertua,

6. Dari perspektif ekonomi, ketika mana meraih kemerdekaan
57 tahun lalu, kita telah membina negara ini berlandaskan
pertanian. Kemudiannya, kita menuju negara perindustrian
moden. Selanjutnya, kita melalui fasa negara berpendapatan

sederhana tinggi. Sekarang ini pula, kita sedang melangkah ke
arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan pengetahuan.

7. Bila disimpulkan, objektif, prinsip dan teras kepada 3
Rangka Rancangan Jangka Panjang, kesepuluh-sepuluh
Rancangan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan
Nasional, Dasar Wawasan Negara dan sejak 2010 Dasar
Transformasi Nasional, kesemuanya berkisar tentang
pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, penyusunan
semula masyarakat, sehingga tercapai matlamat sosio-ekonomi,
mempelbagaikan ekonomi berteraskan komoditi, pembangunan
modal insan, meningkatkan daya saing sektor awam dan swasta,
rantaian nilai lebih tinggi, pembangunan secara inklusif dan
transformasi Kerajaan, ekonomi, sosial serta politik.
8. Ternyata, bapa-bapa pimpinan terdahulu dengan bijaksana,
telah menjalankan kewajiban masing-masing membentuk
Malaysia menurut acuan tersendiri. Dimulai perjuangan oleh
Tunku Abdul Rahman, diikuti oleh Tun Abdul Razak yang telah
melaksanakan pembangunan dan menyusun semula struktur
sosial masyarakat, Tun Hussein mengekalkan keamanan dan
perpaduan, Tun Mahathir memodenkan negara, manakala Tun
Abdullah pula menekankan aspek pembangunan modal insan.
Tuan Yang Dipertua,


9. Seterusnya, Kerajaan yang ada hari ini, terus komited
memacu pertumbuhan negara dengan tasawwur yang lebih luas
bagi meletakkan Malaysia di jajaran kukuh dari masa ke semasa.
10. Jelasnya, jika dicongak, pembentangan Bajet, petang ini,
adalah yang keenam sejak saya mengambil alih pentadbiran, dan
juga adalah bajet negara kali yang ke-56. Sesungguhnya jua, Bajet
2015 ini, menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan
Malaysia.
11. Selanjutnya, pada Mei 2015 nanti, bermulalah jendela
Rancangan Malaysia kesebelas. Serentak itu, satu pendekatan
baharu sedang digariskan yang dikenali sebagai Strategi
Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National
Development Strategy atau MyNDS.

12. MyNDS akan menjadi antara formula kepada perancangan
dan penyediaan program serta projek di bawah Rancangan
Malaysia Ke-11. Ia akan menggunakan sumber yang terhad secara
optimum, yakni menumpukan kepada projek dan program
berimpak tinggi, kos yang rendah serta pelaksanaan secara cekap
dan pantas. Ertinya, Bajet 2016 kelak, akan menjadi pemula
kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam
menuju status, dengan izin –
High Income Advanced Economy
menjelang 2020.
13. Merujuk kepada perjalanan negara-negara yang lain seperti
Korea, Jerman, Jepun, Taiwan mahupun China, di mana

kebanyakannya bermula dengan asas pertanian sebagai ekonomi
mereka dan kini beralih kepada asas ekonomi yang
mengutamakan pengetahuan, kemahiran, inovasi dan kepakaran
yang tinggi.

14. Jika dapat diterangkan dengan bahasa yang mudah,
perancangan dan instrumen ekonomi kepada sesebuah negara
perlu disesuaikan mengikut musim dan peredaran masa serta
tuntutan domestik dan global. Justeru, untuk terus kekal relevan
Malaysia sewajibnya bergerak dengan ekonomi berasaskan
pengetahuan, kemahiran tinggi, kepakaran, kreativiti dan inovasi.
Tuan Yang Dipertua,

15. Sememangnya, dari sudut ekonomi, sesebuah negara yang
pesat membangun, tidak boleh lari daripada menjana kekayaan
menerusi aktiviti capital economy. Namun demikian, dari sudut
kesejahteraan rakyat, kita mendengar keluh kesah, sungutan dan
rungutan orang ramai. Mereka bertanya melalui komen-komen
blog, surat-surat yang diterima, mesyuarat, temubual, sesi dialog
dan wacana semasa akan persoalan bahawa angka berjuta-juta,
peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega, apakah
manfaatnya kepada rakyat terbanyak?
16. Bak kata orang kampong saya di Pekan, maaf bercakap,
rasanya, perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang
disebut seperti jauuuuuuh... dan tidak ada kena mengena dengan

pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar
malahan juga di bandar.

Tuan Yang Dipertua,

17. Sesungguhnya, inilah cabaran terbesar dalam mentadbir
Negara seistimewa Malaysia dengan kerencaman masyarakat.
Saya selaku Perdana Menteri sehingga petang semalam ketika
bertemu para wartawan diajukan soalan apakah hal yang paling
sukar untuk diputuskan? Saya menjawab… yakni bagaimana kita

hendak mengimbangi antara polisi yang populist in nature as
compared to those policies based on economic and financial
imperatives.

18. Sejelasnya, Kerajaan yang ada hari ini berpegang teguh
kepada prinsip bahawa usaha memantap tadbir urus fiskal seperti
mengurangkan defisit fiskal adalah satu tanggungjawab moral
generasi kita untuk generasi pewaris masa hadapan. Pokoknya,
kita tidak mahu mewariskan Malaysia dengan kewangan
Persekutuan yang terbeban dengan masalah hutang.
Tuan Yang Dipertua,

19. Lantaran demikian, mengambil kira dan memahami denyut
nadi rakyat serta realiti kehidupan, sebagai Ketua Kerajaan, saya
mahukan falsafah tunjang kepada pembikinan bajet tahun ini
mestilah menitikberatkan keseimbangan antara capital economy
dan people economy.

20. Bila kita membicarakan istilah Capital Economy, ia
merujuk kepada pengurusan dan dasar-dasar ekonomi yang
berbentuk makro. Ini memudahkan sesebuah negara
mengunjurkan sasaran-sasaran utamanya berbanding negaranegara
lain. Antaranya, ia merujuk kepada pengurusan ekonomi
yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan per
kapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat,
penarafan ekonomi dan kredit, indeks Bursa dan nilai saham.
Tuan Yang Dipertua, sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai
Capital Economy.

21. Manakala apabila kita mengupas dan menakrif istilah
People Economy, ia merupakan ekonomi yang berorientasikan
rakyat meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingankepentingan
rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah,
peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup,
perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan
keselamatan, yakni aman dari jenayah. Ringkasnya, ia
merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian
rakyat. Sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Ekonomi
Keperluan Rakyat atau EKR.
Tuan Yang Dipertua,

22. Memang benar, dari sudut teori dan ilmiahnya, capital
economy dan people economy tidak dapat dipisahkan dan wujud
secara simbiosis antara satu dengan yang lain. Walau apapun,
ingin saya tegaskan dalam bajet ini, Ekonomi Keperluan

Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan
kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status
negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara
akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintupintu
rumah setiap rakyat di negara ini, InsyaAllah.


Tuan Yang Dipertua,

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

23. Bermula 3 April 2009, setelah lebih 5 tahun, saya
memegangpimpinan Negara sebagai Perdana Menteri,
diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi
Nasional atau DTN. Ia merangkumkan Program Transformasi
Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP,
Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi
Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan
Program Transformasi Fiskal atau FTP dalam usaha kita mencapai
matlamat negara ekonomi maju berpendapatan tinggi. ETP telah
mensasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita
Malaysia kepada 15,000 dolar Amerika dan memperoleh 444
bilion dollar Amerika dalam pelaburan menjelang 2020.
24. Sejak 2009 juga, secara kumulatifnya, sebanyak 196 projek
daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan. Jumlah
pelaburan pula mencecah 219 bilion ringgit dan lebih 437,000
peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan.
25. Mutakhir ini, ekonomi negara telah tumbuh dengan positif
dalam semua sektor dan mencatatkan KDNK sebanyak 6.3
peratus. Alhamdulillah, kita merafak syukur kepada Yang Maha
Kuasa, kerana pencapaian ini, menempatkan kita sebagai yang

paling tinggi di kalangan negara ASEAN dalam tempoh separuh
pertama 2014.

Tuan Yang Dipertua,

26. Antara tahun-tahun 2009 hingga 2014, kita mampu berasa
lega dan berbangga dengan prestasi-prestasi berikut. Indeks FBM
KLCI telah meningkat sebanyak 114 peratus iaitu daripada 884.45
mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014.
Pertumbuhan modal pasaran juga meningkat sebanyak 162
peratus daripada 667.87 bilion ringgit kepada 1,749.49 bilion
ringgit dicatatkan pada 7 Oktober 2014.
27. Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pula menunjukkan
peningkatan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 6,700 dolar
Amerika kepada 10,060 dolar Amerika dalam tempoh 5 tahun ini.
InsyaAllah, saya yakin pada tahun ini kita akan mencapai
pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada kadar 5.5
peratus hingga 6 peratus. Kadar defisit fiskal Negara juga semakin
bertambah baik. Kita telah dapat menurunkan kadar defisit
daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013
dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun ini.
28. Bagi 2015 pula, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal
kukuh pada kadar 5 hingga 6 peratus, manakala defisit fiskal
dijangka berkurangan kepada 3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,

29. Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan di sini, kita
juga telah memecah beberapa rekod pencapaian antaranya:
Pertama: Indeks Bursa Malaysia telah mencatat paras
1,892.65 mata pada Julai 2014, menjadikannnya
paras tertinggi dalam sejarah negara; dan

Kedua:
Kemasukan pelabur asing sebanyak 38.7 bilion
ringgit pada tahun 2013, juga merupakan catatan
tertinggi actual realized investments yang pernah
dicapai dalam sejarah Negara.

PERUNTUKAN BAJET 2015

Tuan Yang Dipertua,

30. Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit
iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding
peruntukan asal 2014. Daripadanya, 223.4 bilion ringgit bagi
perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai
perbelanjaan pembangunan.
31. Di bawah peruntukan mengurus, 65.6 bilion ringgit adalah
untuk Emolumen, dan 38.1 bilion ringgit untuk Perkhidmatan
dan Bekalan. Agihan terbesar sebanyak 116.4 bilion ringgit
adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian
Aset pula diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit dan 1.8
bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

32. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi
menerima agihan tertinggi sebanyak 29.3 bilion ringgit, diikuti
oleh sektor sosial 12.6 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan
latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.
Sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 4.9 bilion
ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu
sebanyak 1.7 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2
bilion ringgit.
33. Pada tahun 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan
diunjurkan sebanyak 235.2 bilion ringgit, yakni peningkatan
sebanyak 10.2 bilion ringgit berbanding 2014.
Tuan Yang Dipertua,

34. Khususnya pada tahun 2015, dengan perlaksanaan GST,
hasil kutipan dianggarkan berjumlah sebanyak 23.2 bilion ringgit.
Walau bagaimanapun, sebagai Kerajaan yang prihatin, kita telah
mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya
dianggarkan 3.8 bilion ringgit.
35. Harus diketahui, bahawa dengan perlaksanaan GST ini,
maka Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST, dimansuhkan
yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 13.8
bilion ringgit. Ertinya, bila ditolak 13.8 bilion ringgit dan 3.8 bilion
ringgit daripada kutipan 23.2 bilion ringgit itu, baki yang ada,
berjumlah 5.6 bilion ringgit.

36. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.9 bilion ringgit
disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej
bantuan, contohnya tambahan BR1M. Akhirnya, hasil bersih
kutipan GST hanyalah berbaki 690 juta ringgit.

Tuan Yang Dipertua,

BAJET 2015: EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT

37. Bajet 2015 ini digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan
Rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama, iaitu:
Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi;
Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal;
Strategi Ketiga: Mengupaya Modal Insan dan
Keusahawanan;
Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera;
Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita;
Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia
Negara; dan
Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat

Tuan Yang Dipertua,

38. STRATEGI YANG PERTAMA, MEMPERKUKUH
PERTUMBUHAN EKONOMI. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus
menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif bagi
melonjak pelaburan domestik dan asing.
39. Menerusi strategi ini, Tindakan Pertamanya:
Merancakkan Sektor Perkhidmatan. Untuk makluman, pada
2013, sektor perkhidmatan menyumbang 55.2 peratus kepada
KDNK. Bagi mencapai sasaran 60 peratus menjelang tahun 2020,

Kerajaan akan merancakkan sektor perkhidmatan dengan
melaksanakan perkara-perkara berikut:

Pertama:
Melaksana Blueprint Sektor Perkhidmatan;

Kedua:
Menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan
berjumlah 5 bilion ringgit kepada semua Perusahaan
Kecil dan Sederhana yang terlibat dalam sektor
perkhidmatan dengan had maksimum pembiayaan
sebanyak 5 juta ringgit bersekali 70 peratus jaminan
Kerajaan. Ia dijangka memberi manfaat kepada 4,000
syarikat PKS;

Ketiga:
Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise
dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk
menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat
penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, ICT dan
industri berasaskan pengetahuan;

Keempat: Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport
berjumlah 300 juta ringgit untuk menggalakkan PKS
menjalankan kajian kemungkinan pasaran dan
promosi eksport bagi menembusi pasaran baru; dan

Kelima:
Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais di bawah
KPDNKK bersama Persatuan Francais Malaysia.
Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan untuk skim ini.


40. Tindakan ke-2: Memperkukuhkan Pasaran Kewangan
Islam. Industri kewangan Islam Malaysia kini, mencakupi 25
peratus daripada industri perbankan dari segi aset. Di peringkat
antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk
terbesar di dunia, merangkumi 60 peratus daripada pasaran
sukuk global.
41. Selanjutnya, Kerajaan akan memperkenalkan akaun
pelaburan patuh syariah pada 2015, dikenali sebagai Investment
Account Platform, atau IAP. Ia akan memberi peluang kepada
pelabur dalam pembiayaan aktiviti keusahawanan dan
pembangunan PKS yang berdaya maju. Pada masa yang sama, IAP
akan menarik pelabur institusi dan individu termasuk High Net
Worth Individuals dalam pasaran kewangan Islam. Dalam hal ini,
dana permulaan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan.
42. Bagi menggalakkan pelaburan dalam IAP, Kerajaan
mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai
pendapatan ke atas keuntungan dari pelaburan yang layak
selama 3 tahun berturut-turut.
43. Untuk merancakkan terbitan dan urusniaga pasaran sukuk
dan bon tempatan pula, Kerajaan telah memperkenalkan produk
Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013.
Makanya, Kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan
Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan
dan diurus niaga dalam ETBS.


44. Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk telah diberi
potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran
2015. Selaras dengan ini, dicadangkan potongan cukai bagi
perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah
dan Wakalah dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga tahun
taksiran 2018.
Tuan Yang Dipertua,

45. Tindakan ke-3: Menggalakkan Industri Perkapalan
Tempatan. Akta Perkapalan Saudagar 2011 memperuntukkan
keperluan mandatori insurans atau sekuriti kewangan untuk
perlindungan liabiliti pihak ketiga bagi kapal yang beroperasi di
Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pemilik kapal muatan besar
di Malaysia mempunyai perlindungan liabiliti pihak ketiga melalui
Protection & Indemnity, di luar negara.
46. Justeru, bagi membantu pemilik kapal muatan kasar 300
tan ke bawah, Kerajaan akan menubuhkan Kelab P&I Malaysia, di
bawah Exim Bank, pada kadar premium yang berpatutan.
47. Tindakan ke-4: Mempastikan pertumbuhan wilayah yang
seimbang dan inklusif, dengan terus menggalakkan pelaburan
di kawasan-kawasan yang kurang membangun. Dalam konteks
ini, Kerajaan akan menambahbaik pakej insentif khas yang
disediakan di bawah Koridor-koridor Ekonomi merangkumi lebih
banyak kawasan yang kurang maju.

48. Tindakan ke-5: Insentif Untuk Pengurusan Kawasan
Perindustrian. Kawasan-kawasan perindustrian yang
mempunyai kemudahan awam atau infrastruktur yang
diselenggara secara sistematik merupakan antara faktor utama
yang menyokong pembangunan industri. Dalam hal ini, insentif
dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh
lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan pihak swasta
menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di
kawasan kurang membangun. Manakala insentif dengan 70
peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun
akan disediakan kepada pihak swasta yang mengurus kawasan
perindustrian di kawasan yang lain.
49. Tindakan ke-6: Elaun Modal Bagi Peningkatan Proses
Automasi oleh Industri Berintensif Buruh. Kerajaan akan
menyediakan insentif elaun modal perbelanjaan automasi untuk
menggalakkan proses automasi sektor perkilangan mengikut
kategori berikut:
.
Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang
mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti
industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan
tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal
perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 4
juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah
bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan


.
Kategori Kedua iaitu untuk industri-industri yang
lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal
perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas
2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini
adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020.

50. Tindakan ke-7: Dalam menggalakkan pelaburan berkualiti
tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan
ditawarkan untuk projek-projek pelaburan yang berasaskan
teknologi, inovasi dan pengetahuan, melibatkan pekerja
berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

51. Tindakan ke-8: Merancak Pelaburan Awam dan Swasta.
Bagi tahun 2015, beberapa projek infrastrutur akan
dilaksanakan:
Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi -Ulu Klang
sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaan
berjumlah 5.3 bilion ringgit;

Kedua:
Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke
Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos
pembinaan berjumlah 5 bilion ringgit;

Ketiga:
Membina Lebuh Raya Damansara -Shah Alam
sepanjang 47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2
bilion ringgit;

Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur -
Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos
pembinaan 1.6 bilion ringgit;

Kelima:
Menaik taraf landasan keretapi sektor Pantai Timur
melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai
Yu dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan 150
juta ringgit;


Keenam:
Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer
dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23
bilion ringgit; dan

Ketujuh:
Manakala, Projek LRT3, yang bakal menghubungkan
Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang,
dianggarkan 9 bilion ringgit akan dilaksanakan.

52. Projek Pengerang Integrated Petroleum Complex dengan nilai
pelaburan 69 bilion ringgit pula yang dijangka dapat mewujudkan
lebih 10,000 peluang pekerjaan.
53. Di samping itu, bagi membangunkan industri pembuatan
kenderaan elektrik, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund
berjumlah 70 juta ringgit disediakan bawah SME Bank. Sebagai
permulaan, 50 bas elektrik akan diperkenalkan.
Tuan Yang Dipertua,

54. Tindakan ke-9: Menggalakkan Penubuhan Hab Prinsipal.
Untuk ini, Kerajaan akan terus berusaha memperbanyakkan lagi
pusat operasi global syarikat multinasional di Malaysia. Sejajar
dengan itu, satu insentif Hab Prinsipal yng berbentuk customised
incentives akan diperkenalkan mulai awal tahun depan.
55. Tindakan ke-10: Merancakkan Industri Kreatif. Untuk
memajukan industri kreatif seperti animasi, perfileman, seni
reka, dan warisan budaya, Kerajaan telah memperuntukkan

sebanyak 200 juta ringgit kepada MyCreative Ventures pada
tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui
Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak 100 juta ringgit.

56. Tindakan ke-11: Meningkatkan Keupayaan Jalur Lebar
Berkelajuan Tinggi. High Speed Broad Band, di kawasan
ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri
dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak 2.7
bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun
melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi
baru dan pembinaan kabel dasar laut.
57. Tindakan ke-12: Merancak Industri Pelancongan.
Sempena sambutan ‘Malaysia -Year of Festivals 2015’, Kerajaan
mensasarkan kedatangan pelancong asing seramai 29.4 juta
orang dengan jangkaan pendapatan sebanyak 89 bilion ringgit.
Untuk tujuan ini, sebanyak 316 juta ringgit diperuntukkan bagi
pelbagai program di bawah Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,

58. Tindakan ke-13: Membangunkan Perusahaan Kecil dan
Sederhana. Kini, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak
33 peratus dan kita mensasarkan peningkatan kepada 41 peratus
menjelang 2020.

59. Maka, bagi merancakkan penglibatan PKS dalam aktiviti
ekonomi, Kerajaan mencadangkan pelaksanaan SME Investment
Partner, di mana PKS akan diberi bantuan pembiayaan dalam
bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya, terutamanya di
peringkat start-up. Dana permulaan berjumlah 375 juta ringgit
akan disediakan untuk tempoh lima tahun, di mana 250 juta
ringgit adalah daripada SME Bank dan 125 juta ringgit lagi
daripada pelabur swasta. Di bawah SME Corp pula, 10 juta ringgit
akan diperuntukkan untuk Business Accelerator Programme.
60. Sebagai meningkatkan penggunaan teknologi baru,
automasi dan inovasi dalam pembangunan PKS pula, sebanyak
80 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah
Automasi dan Pemodenan PKS di bawah Malaysian Industrial
Development Finance Berhad.
Tuan Yang Dipertua,

61. Di sudut lain, TEKUN juga telah menyalurkan pinjaman
berjumlah 3.1 bilion ringgit kepada hampir 300 ribu orang
peminjam dengan had pembiayaan di antara 1,000 hingga 100
ribu ringgit. Pada tahun 2015, TEKUN akan menyediakan
tambahan dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit, diagihkan
seperti berikut:
Pertama:
350 juta ringgit diperuntukkan kepada usahawan
Bumiputera yakni hampir 33 ribu orang peminjam
baru;


Kedua:
50 juta ringgit dikhususkan kepada Skim Pembiayaan
Usahawan India, dijangka memanfaatkan 5,000
peminjam kaum India;

Ketiga:
50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program
Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional
yakni pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita
profesional; dan

Keempat: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program
Pembangunan Usahawan Bekas Tentera, yang
menawarkan pembiayaan kepada 5,000 orang bekas
tentera.

62. Seiring itu, bagi membantu PKS kaum Cina, Kerajaan akan
menyediakan pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit,
manakala bagi penjaja dan peniaga kecil sebanyak 30 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,

63. Tindakan ke-14: Pembangunan Inovasi dan
Pengkomersilan. Ketika ini, nisbah R&D kepada KDNK adalah
rendah jika dibanding dengan negara maju seperti Jepun dan
Korea Selatan. Justeru, Kerajaan memperuntukkan 1.3 bilion
ringgit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi
melaksanakan program berkaitan, antaranya:

Pertama:
Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi
dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang;

Kedua:
Menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta
ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang
berimpak tinggi;

Ketiga:
Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME
Technology Penetration, Upgrading Program dan
Technology Auditing akan dilaksanakan;

Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private
Research Network yang diterajui Kementerian
Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan
peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; dan

Kelima:
Memperkukuhkan Program Technology
Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi
Malaysia dengan tambahan 50 juta ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

64. STRATEGI KEDUA: MEMANTAP TADBIR URUS FISKAL.
Hakikatnya, Kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan
kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin
kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan
defisit fiskal, bagi mencapai bajet berimbang.
65. Tindakan Pertama: Melaksanakan Cukai Barang dan
Perkhidmatan. Semasa pengumuman GST sewaktu
pembentangan Bajet 2014 lalu, Kerajaan telah mencadangkan
senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan
GST. Maka berdasarkan kepada maklumbalas pelbagai lapisan
masyarakat, Kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop
barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya
adalah:
(i)
Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimport;
(ii)
Roti putih dan roti wholemeal;
(iii)
Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko;
(iv)
Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun;
(v)
Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir
2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi
kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk
sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan
rawatan kesuburan;

(vi)
Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku
latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama;
dan
(vii)
Surat khabar.
66. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar
penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200
unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70
peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.
67. Di samping itu, bagi mempastikan pelaksanaan GST tidak
membebankan rakyat, Kerajaan bersetuju supaya penjualan
runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan
pelepasan GST. Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan
sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi
pembelian petrol RON95, diesel dan LPG.
Tuan Yang Dipertua,

68. Molek saya nyatakan di sini bahawa, daripada 944 barang dan
perkhidmatan yang terdapat di dalam basket of goods, Indeks
Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami
penurunan harga sehingga 4.1 peratus. Antara produk tersebut
adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan
mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan
pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi,
sabun, daging, telur ayam, minyak, makanan laut, beras dan
sayur-sayuran.

69. Manakala sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan yang
akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa
yang penting, Kerajaan berharap para peniaga bersifat
bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga
membebankan rakyat. Untuk memudahkan rakyat, Kerajaan
akan mengeluarkan shoppers’ guide bagi membolehkan mereka
membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.
Tuan Yang Dipertua,

70. Perlu difahami baik-baik juga, sebenarnya, kesan langsung
daripada perlaksanaan GST, membolehkan Kerajaan
mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti berikut:
Pertama:
Kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran
2015

(i)
Kadar cukai pendapatan individu akan
dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan.
Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang yang
kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu
membayar.
(ii)
Manakala, golongan berkeluarga yang
berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak
lagi mempunyai tanggungan cukai.
(iii)
Cukai pendapatan individu juga akan distruktur
semula di mana pendapatan bercukai pada kadar

maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu
ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar
cukai maksimum yang kini 26 peratus pula,
dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan
25 peratus. Justeru, pembayar cukai akan
menikmati penjimatan bayaran cukai sekurangkurangnya
sebanyak 5.3 peratus.

Kedua:
Bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan
koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata
peratusan. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan
pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai;

Ketiga:
Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan
syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25
peratus kepada 24 peratus; dan

Keempat: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan
syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata
peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

71. Pada satu perspektif, pengalaman antarabangsa
membuktikan, tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor
kejayaan pelaksanaan GST. Bagi membantu para peniaga, insentif
dan bantuan berikut akan dilaksanakan:

Pertama:
Pemberian Geran latihan sebanyak 100 juta ringgit
kepada peniaga untuk menghantar kakitangan
menjalani latihan tentang GST;

Kedua:
Bantuan kewangan berjumlah 150 juta ringgit kepada
PKS bagi pembelian perisian perakaunan;

Ketiga:
Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun
Modal Dipercepatkan; dan

Keempat: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan
GST diberi potongan cukai tambahan.

Tuan Yang Dipertua,

72. Tindakan ke-2: Merasionalisasi Subsidi. Kerajaan telah
memperuntukkan 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi pada
tahun 1994. Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion
ringgit pada tahun 2014.
73. Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, Kerajaan
komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi,
terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan
mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta
mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan
mempastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara
berperingkat bagi mempastikan ianya tidak membebankan
rakyat.

74. Kini, lebih 21 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk
membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG.
Kesannya, peruntukan subsidi telah meningkat lebih 14 kali
ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada 23.5 bilion
ringgit tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga
runcit petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah
kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta
unit pada 2013.
75. Oleh yang demikian, bagi mempastikan pemberian
subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan
kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi,
Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru
pemberian subsidi petroleum yang akan saya umumkan dalam
masa terdekat.
Tuan Yang Dipertua,

76. Tindakan ke-3: Menyebar Luas Strategi Lautan Biru
Kebangsaan. National Blue Ocean Strategy, telah menunjukkan
keberkesanan pelaksanaan projek dan program Kerajaan. Untuk
itu sebanyak 356 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2015,
iaitu:
Pertama:
Membuka 4 buah lagi UTC di Terengganu, Kelantan,
Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTC di Kedah;
dan


Kedua:
Mempergiatkan latihan peningkatan kemahiran atau
upskilling kepada 5,000 pelatih melalui program
1Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor
awam dan 1Malaysia Training Centre bagi sektor
swasta.


Tuan Yang Dipertua,

77. STRATEGI YANG KETIGA, MENGUPAYA MODAL INSAN
DAN KEUSAHAWANAN. Kontemporari ini, antara faktor yang
menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung
kepada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan
kepada sumber ‘bahan mentah’ seperti petroleum, kelapa sawit

atau sumber galian, semata-mata, tetapi juga merangkumi idea,
kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah
ciptaan-ciptaan produk terkini, yang berupaya menjana ekonomi
dan melahirkan usahawan-usahawan baharu.

78. Bagi maksud strategi ini dan falsafah modal insan, selaras
dengan Ekonomi Keperluan Rakyat, adalah menjadi hasrat
Kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada
takuk 34 peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada
KDNK menjelang 2020.

Tuan Yang Dipertua,

79. Bagi strategi ketiga ini, Tindakan Pertama: Memantapkan
Profesionalisme Perguruan dan Prestasi Sekolah. Sektor
pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini,
56 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan
pembelajaran. Ini termasuk penekanan akan diberikan kepada
pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan serta
bantuan khusus. Justeru, peruntukan sebanyak 250 juta ringgit
disediakan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar
Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah.
80. Tindakan Ke-2: Mengupaya Program Sekolah Amanah
dan Pembinaan Sekolah Baru. Kerajaan juga akan
memperluaskan program Sekolah Amanah yang telah dimulakan
pada tahun 2011. Setakat ini, 30 buah Sekolah Amanah telah
diwujudkan yang memanfaatkan lebih 20 ribu pelajar dan 1,500
guru. Di bawah program ini, Pengetua diberi kuasa autonomi dan
akauntabiliti yang tinggi dalam menguruskan pentadbiran serta
proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru, pada
tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan
program ini ke 20 buah sekolah lagi di negeri Johor, Sarawak,
Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dengan peruntukan 10 juta ringgit.

81. Di samping itu, Kerajaan juga akan membina 12 buah
sekolah baru, iaitu 7 buah Sekolah Rendah, 3 buah Sekolah
Menengah dan 2 buah Sekolah Berasrama Penuh di seluruh
negara.
82. Tindakan Ke-3: Mengarus Perdana Pendidikan Teknikal
dan Vokasional. Menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya 46
peratus pekerjaan memerlukan kelayakan teknikal dan
vokasional. Untuk itu, Kerajaan akan meningkatkan pengambilan
pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti melalui program
Transformasi Vokasional dan Teknik serta menaik taraf kolej.
Bagi tujuan tersebut, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion
ringgit.
83. Bersabit hal ini juga, buat masa ini bagi permohonan untuk
mengambil jurusan di bawah Program Latihan Teknikal dan
Vokasional atau TEVT, yang diterima oleh Kementerian
Pendidikan jauh melebihi kemampuan tempat yang boleh
disediakan, yakni lebih kurang 20 ribu. Jadinya, sebagai langkah
untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, Kerajaan
bersetuju meluluskan 100 juta ringgit dengan serta merta kepada
Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10 ribu pelajar di
kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta. Di samping itu, 50 juta
ringgit juga turut diperuntukkan kepada MARA bagi
perlaksanaan Program TEVT.

Tuan Yang Dipertua,

84. Sebagai dorongan kepada syarikat swasta pula, Kerajaan
mencadangkan galakan cukai sedia ada ditambahbaik seperti
berikut:
Pertama:
Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai
pendapatan diperluaskan kepada biasiswa untuk
pelajar di peringkat pengajian pensijilan vokasional dan
teknik;

Kedua:
Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai
pendapatan ke atas perbelanjaan syarikat dalam
melaksanakan program internship berstruktur di
peringkat diploma dan vokasional; dan

Ketiga:
Potongan tambahan bagi maksud pengiraan cukai
pendapatan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang
ditanggung oleh majikan bagi pekerja untuk
mendapatkan sijil dan kelayakan profesional yang
diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

85. Tindakan Ke-4: Membangunkan dan Menyelenggara
Fasiliti Pendidikan. Dalam aspek keselamatan dan persekitaran
pembelajaran pula, Kerajaan akan menyediakan 800 juta ringgit
untuk tujuan ini dengan pecahan seperti berikut:

.
Sekolah Kebangsaan 450 juta ringgit;

.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 50 juta ringgit;

.
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil 50 juta ringgit;

.
Sekolah Mubaligh 50 juta ringgit;

.
Sekolah Berasrama Penuh 50 juta ringgit;

.
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 50 juta ringgit;

.
MRSM 50 juta ringgit;

.
Sekolah Pondok yang berdaftar 25 juta ringgit; dan

.
Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau conforming school

yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan

diperuntukkan sebanyak 25 juta ringgit

86. Kerajaan juga sukacita mengumumkan supaya pembayaran
kos bil elektrik dan air kepada semua Sekolah-sekolah Jenis
Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan, dapat dibayar
sepenuhnya dengan siling sebanyak 5,000 ringgit sebulan. Ini
berbeza dengan kuota 2,000 ringgit setiap sekolah sebelum ini.

Tuan Yang Dipertua,

87. Tindakan Ke-5: Menaja Pelajaran. Untuk Tahun 2015,
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3 bilion ringgit, di
mana 1.9 bilion ringgit melalui tajaan JPA, sebanyak 759 juta
ringgit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan 258 juta
ringgit kepada Kementerian Kesihatan.
88. Tindakan Ke-6: Memperluas Program MyBrain15.
Kerajaan telah memperkenalkan program MyBrain15 untuk
menghasilkan 60 ribu pemegang PhD menjelang tahun 2023.
Setakat ini, seramai 34,525 pelajar sedang mengikuti pengajian
di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah melibatkan
perbelanjaan lebih 386 juta ringgit. Untuk tahun 2015, sebanyak
112 juta ringgit lagi akan diperuntukkan. MyBrain15 yang kini
terbuka kepada sektor swasta, dicadangkan diperluas kepada
penjawat awam dan kakitangan badan berkanun yang ingin
melanjutkan pengajian secara separuh masa di institusi
pengajian tinggi tempatan.
89. Tindakan Ke-7: Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional atau PTPTN pada 1997 sehingga kini, seramai 2.1 juta
rakyat Malaysia telah mengambil pinjaman berjumlah 47.8 bilion
ringgit. Namun demikian, setakat 31 Ogos 2014, hanya 5.36
bilion ringgit atau 46 peratus daripada 11.76 bilion ringgit telah
dikutip.

90. Lebih menyedihkan, terdapat seramai 174 ribu peminjam,
yang langsung tidak pernah membayar balik setakat 2010. Oleh
itu, Kerajaan akan mengambil langkah baru yang setimpal dan
sewajarnya kepada para peminjam ini.
Tuan Yang Dipertua,

91. Hatta dalam Islam pun, melalui mafhum beberapa hadis
sahih antaranya riwayat Muslim menyatakan bahawa, roh
seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab
berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni,
melainkan hutangnya.

92. Berkait ini, harap ramai dapat mengambil iktibar. Jadinya,
dalam usaha menggalakkan peminjam membuat bayaran balik,
Kerajaan mencadangkan supaya 10 peratus rebat diberikan
sekiranya peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara
berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. Sebagai
tambahan, tawaran diskaun 20 peratus diberikan kepada
peminjam yang membuat penyelesaian secara sekaligus atau
lump sum mulai hari ini sehingga 31 Mac 2015.
93. Sejak tahun 2005, golongan berpendapatan tidak melebihi
2,000 ringgit sebulan, yang menyimpan di dalam SSPN-i, telah
menikmati pemberian geran sepadan. Justeru, bagi
menggalakkan lebih ramai ibu bapa menjadi pendeposit untuk
menikmati geran sepadan ini, Kerajaan mencadangkan supaya

had pendapatan isi rumah pencarum dinaikkan kepada tidak
melebihi 4,000 ringgit sebulan.


Tuan Yang Dipertua,

94. Tindakan Ke-8: Meningkat Kebolehpasaran Graduan.
Sehingga kini, dianggarkan seramai 53 ribu graduan masih belum
lagi mendapatkan pekerjaan setelah 6 bulan tamat pengajian.
Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan
mencadangkan supaya kurikulum dan program latihan
kemahiran di institusi latihan kemahiran awam serta institusi
pengajian tinggi dikaji semula. Untuk tujuan ini, Talent Corp
akan menyediakan 30 juta ringgit bagi program Industry
Academia Collaboration di mana, universiti, entiti Kerajaan dan
industri bekerjasama membangunkan kurikulum program
internship serta latihan industri.
95. Selain itu, keyakinan diri dan kemahiran graduan
berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris akan dipertingkatkan.
Pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA mengkehendaki
pelajar mencapai tahap minimum di Band 1 dalam Malaysian
University English Test atau MUET. Mulai tahun hadapan:
(i)
bagi kemasukan ke IPTA tahap minimum Band MUET
ditingkatkan mengikut bidang pengajian seperti contoh
berikut:
a) Pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 2
b) Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik atau STEM -Band 3
c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 4


(ii)
sebagai syarat bergraduan pula, pelajar wajib mencapai:
a) Pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 3
b) Pengajian STEM –
Band 4
c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 5
Saya juga ingin menyarankan IPTS melaksanakan langkah yang
sama.

Tuan Yang Dipertua,

96. Tindakan Ke-9: Mensejahterakan Golongan Pekerja. Pada
suku kedua 2014, jumlah pekerjaan adalah sebanyak 13.5 juta
iaitu peningkatan lebih 1.6 juta pekerjaan berbanding tahun
2010. Bagi mempastikan kebajikan pekerja terus terbela:
(i)
Akta Kerja 1955 dan akta perburuhan yang berkaitan
akan dikaji semula yang termasuk terma dan syarat
pekerjaan, pelantikan dan pemberhentian, waktu bekerja
yang fleksibel serta faedah penamatan kerja;
(ii)
Portal JobsMalaysia akan ditambahbaik bagi memenuhi
keperluan pasaran tenaga kerja yang semakin dinamik;
(iii)
Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Insurans
Pekerjaan bertujuan membantu golongan pekerja yang
diberhentikan melalui pemberian bantuan saraan
sementara serta peluang latihan semula atau reskilling
and upskilling; dan

(iv)
Menyediakan latihan teknikal dan bantuan pendidikan
kepada golongan belia India terutama dari keluarga
kurang berkemampuan dengan peruntukan 30 juta
ringgit.
97. Pada tahun 2011, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M telah
berjaya mendapatkan pekerjaan kepada lebih 45 ribu graduan
dari kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan luar bandar.
Kerajaan telah menyokong usaha CSR oleh majikan dalam
perlaksanaannya melalui galakan potongan dua kali kepada
syarikat bagi maksud pengiraan cukai pendapatan sehingga 31
Disember 2016. Saya mencadangkan galakan cukai ini
dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Tuan Yang Dipertua,

98. Tindakan Ke-10 : Bagi memperhebatkan program upskilling
dan reskilling, Kerajaan akan memperkenalkan satu program
baru, iaitu Globally Recognised Industry and Professional
Certification atau 1MalaysiaGRIP dengan peruntukan
sebanyak 300 juta ringgit secara matching grant antara Kerajaan
dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi melatih seramai
30 ribu pekerja.
99. Tindakan Ke-11 : Kerajaan akan meningkatkan program
latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga
Kerja atau JTK. Program latihan ini akan melibatkan pelajar

lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, graduan universiti atau kolej
serta pekerja industri terutama pekerja separuh mahir. Bagi
mengoptimumkan 32 institusi latihan JTK, Kerajaan akan
mengoptimumkan kapasiti latihan double shift bagi program
sepenuh masa melibatkan 176 kursus yang mempunyai
permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan. Pengambilan pelajar
sebanyak 2 kali setahun dianggarkan melibatkan 48 ribu dalam
tempoh 5 tahun pelaksanaannya dengan peruntukan 570 juta
ringgit.

100. Tindakan Ke-12: Kerajaan berhasrat untuk menjadikan
Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi Syarikat Permulaan
atau Start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan
MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk
memudahcara syarikat Start-up memulakan perniagaan. Justeru,
bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat Start-up
beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar
syarikat Start-up ditetapkan sebanyak 75 ribu ringgit. Usahawan
ekspatriat Start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass
untuk tempoh satu tahun.
Tuan Yang Dipertua,

101. STRATEGI KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA
BUMIPUTERA. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar
ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah
digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk
tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah

diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh
seluruh rakyat Malaysia, dilindungi, dan dimaktubkan dalam
Perlembagaan Persekutuan.

102. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada
agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak
mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta
Bumiputera sama ada Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak
adil dan tidak saksama.
103. Hatta, sejarah telah membuktikan sejak puluhan tahun
dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera,
bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih
manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.
Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil,
atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui
penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi
yang mampan. Apatah lagi menjelang 2020, jumlah Melayu dan
Bumiputera, Islam dan Bukan Islam, akan mencapai lebih 70
peratus.
Tuan Yang Dipertua,

104. Untuk strategi ini, Tindakan Pertama: Meningkatkan
Pemilikan Ekuiti Bumiputera. Dalam konteks pemilikan ekuiti
syarikat korporat, masyarakat Bumiputera masih belum
mencapai sasaran 30 peratus. Sementara itu, effective control ke

atas syarikat korporat terkini, hanyalah pada sekitar 10 peratus.
Lantaran itu, Kerajaan menerusi EKUINAS akan diperuntukkan
600 juta ringgit bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera
dalam syarikat-syarikat swasta mahupun GLC. Sehingga kini,
EKUINAS telah melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai 2.3
bilion ringgit dalam pelbagai sektor.

105. Tindakan Ke-2: Memantapkan Keusahawanan
Bumiputera. Bagi melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera,
beberapa inisiatif telah dirancang:
Pertama:
Memperkukuh peranan Institut Keusahawanan Negara
atau INSKEN sebagai Pusat Kecemerlangan
Keusahawanan Bumiputera;

Kedua:
Merancakkan lagi program Skim Usahawan Permulaan
Bumiputera atau SUPERB dengan peruntukan
tambahan sebanyak 30 juta ringgit. Program ini juga
akan diperluaskan penyertaannya kepada usahawan di
Sabah dan Sarawak;

Ketiga:
Memperkenalkan program pre-eksport untuk syarikat
Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS bagi
meningkatkan penjenamaan, pensijilan antarabangsa,
dan market survey keluaran Bumiputera. Program ini
mensasarkan 60 syarikat TERAS yang dapat
meningkatkan kapasiti dan menembusi pasaran
antarabangsa; dan


Keempat: Memperluaskan program carve-out and compete secara
meritokrasi meliputi projek Kerajaan dan penswastaan,
termasuk projek MRT jajaran kedua dan Lebuhraya
Pan Borneo.

106. Tindakan Ke-3: Bagi PKS Bumiputera pula, antara
inisiatif-iniatif khusus yang akan dilaksanakan melalui Bajet
2015 adalah seperti berikut:
Pertama
Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta
ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh
syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi
menyedia kemudahan pembiayaan dan kredit yang
bernilai antara 50 ribu hingga 1 juta ringgit mulai
Januari 2015; dan

Kedua:
Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM akan menggunakan
sumber dalaman berjumlah 1.8 bilion ringgit untuk
menyediakan pembiayaan yang dapat memanfaatkan
346 ribu sahabat AIM.

107. Tindakan Ke-4: Membangunkan Modal Insan
Bumiputera. Sebagai sebuah institusi unggul Bumiputera, MARA
perlu terus diperteguhkan. Pastinya, antara aspek yang
terpenting ialah Pembangunan Modal Insan. Ia merupakan salah
satu pelengkap bagi Memperkasa Agenda Bumiputera. Dalam hal
ini Kerajaan telah menyediakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama:
2 bilion ringgit diperuntukkan menerusi MARA kepada
pelajar Bumiputera yang layak untuk tajaan pelajaran;

Kedua:
72 juta ringgit akan digunakan oleh Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera dalam pelaksanaan 3 program
dalam bentuk biasiswa, latihan dan bantuan kewangan
yang keseluruhannya melibatkan 5 ribu orang; dan

Ketiga:
Menubuhkan Pusat Perakaunan Profesional di
Universiti Teknologi Mara dengan kerjasama Institut
Akauntan Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

108. Sememangnya, Kerajaan sentiasa mengambil berat dan
amat prihatin dalam membangun dan membela nasib rakyat
di Sabah dan Sarawak dalam agenda pembangunan negara.
109. Sehubungan itu, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara-
Selatan telah mentransformasikan pembangunan dari Perlis ke
Johor, Kerajaan akan mula membina Lebuh Raya Pan Borneo
sepanjang 1,663 kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang
936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan
kos pembinaan sebanyak 27 bilion ringgit.
110. Menerusi NBOS pula, satu lagi mini UTC dan RTC masingmasing
di Sabah dan Sarawak akan dibuka bagi memudahkan
urusan masyarakat di pedalaman dan bandar.

111. Membina Klinik Kesihatan di Tenom, Sabah dan di Lubok
Antu, Sarawak, serta menaik taraf kemudahan di Hospital Tawau.
Kerajaan akan turut menyediakan perkhidmatan perubatan
nuklear dan radioterapi bagi merawat pesakit kanser di Hospital
Wanita dan Kanak-Kanak di Likas Sabah.
Tuan Yang Dipertua,

112. Negeri Sabah merupakan negeri yang mempunyai pesisiran
pantai yang panjang dan luas. Justeru, bagi memperkukuhkan
keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah
atau ESSZONE, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
atau ESSCOM diperuntukkan 660 juta ringgit.
113. Dua batalion melibatkan satu batalion PGA PDRM dan satu
batalion Tentera Darat dengan jumlah anggota baru seramai
1,280 anggota telah diluluskan. Dua buah kem juga akan dibina
di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem ATM
di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
114. Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan
keselamatan akan ditambah baik. Antaranya perolehan sistem
radar pengawasan yang berkeupayaan tinggi. Kerajaan juga akan
menggunakan satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah
kapal auxillary sebagai Sea Basing di perairan ESSZONE dengan
peruntukan sebanyak 230 juta ringgit melalui program CSR
Petronas.

115. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat
berkeupayaan tinggi mendarat, Kerajaan akan memanjangkan
landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan
Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan, dengan peruntukan
sebanyak 50 juta ringgit.
116. Kerajaan juga akan menempatkan semula perkampunganperkampungan
air seperti di Semporna dan Sandakan secara
berperingkat. Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan
rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti
ekonomi akan terus rancak.
Tuan Yang Dipertua,

117. Sebagai Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan di
Sabah dan Sarawak, julung-julung kalinya subsidi padi bukit
diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit.
Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kawasan penanaman
seluas 76,000 hektar.
118. Hakikatnya, Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan
rakyat, terutama yang melibatkan aspek kos sara hidup seharian
mereka. Justeru, Kerajaan akan berusaha untuk terus
menyeimbangkan harga barang keperluan antara Semenanjung,
Sabah dan Sarawak melalui langkah-langkah berikut:

Pertama:
262 juta ringgit bagi membiayai kos pengangkutan dan
penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan
harian terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan

Kedua:
Tambahan 2 buah KR1M di Sabah menjadikan jumlah
16 buah dan 3 buah lagi di Sarawak menjadikan 19
buah.

Sesungguhnya, agenda pembelaan nasib rakyat di Sabah dan
Sarawak, Agi Idup Agi Ngelaban, akan tatap kita perjuangkan.

Tuan Yang Dipertua,

119. STRATEGI KELIMA: MEMARTABAT PERANAN WANITA.
Sesungguhnya wanita sangat istimewa. Keunikan mereka bukan
sekadar penyeri kepada sesebuah keluarga, malahan menjadi
penyuluh dalam mengatasi banyak permasalahan kehidupan.
Bahkan wanita itulah tulang belakang pembangunan negara.
Sesuai dengan itu, Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam
mempastikan mereka terus berperanan dalam mewarnai negara
dan generasi mendatang.
120. Pada masa ini, pekerja wanita hanya mewakili 38 peratus
daripada keseluruhan tenaga kerja di negara ini. Bagi
meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara,
Kerajaan akan menumpukan kepada usaha mempergiatkan
penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti
keusahawanan. Atas tujuan ini, Kementerian Pembangunan

Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diperuntukkan sejumlah 2.26
bilion ringgit bagi pembangunan dan operasi. Antaranya programprogramnya
termasuklah:

Pertama:
Memperkukuh Program Pengarah Wanita bagi
mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam
kumpulan pembuat keputusan. Kerajaan merancang
untuk melatih 125 orang bakal pengarah wanita untuk
mengisi jawatan sebagai ahli lembaga pengarah
syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta. Saya menyeru
syarikat milik Kerajaan dan swasta memberi peluang
kepada lebih ramai wanita profesional menjadi ahli
lembaga pengarah;

Kedua:
Menambah baik peluang wanita untuk kembali ke
pasaran kerja melalui program 1Malaysia Support for
Housewife yang menitikberatkan latihan kemahiran
dan galakan suri rumah; dan

Ketiga:
Talent Corp akan mewujudkan Program Women Career
Comeback untuk wanita profesional kembali ke
pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan
professional.

121. Kerajaan juga sentiasa peka terhadap kesejahteraan
golongan wanita terutamanya dari aspek keselamatan.
Sehubungan itu, Kerajaan akan membeli premis Rumah
Perlindungan Khas Wanita mengikut zon wilayah timur, utara

dan tengah. Selain itu, bagi memberi peluang kepada ibu tunggal
yang berminat dalam keusahawanan, Kerajaan akan meneruskan
Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal atau I-KIT, Program
Inkubator Keusahawanan Wanita dan Program Teras
Pembangunan Wanita.

122. Seterusnya, susulan daripada pembiayaan keseluruhan
yang disediakan di bawah AIM, usahawan wanita India akan
diberi peruntukan khusus sebanyak 30 juta ringgit.
123. Selain itu, bagi Penjawat Awam, Kerajaan bersetuju
menambah baik kemudahan Cuti Menjaga Anak dengan meminda
syarat pemberian supaya tidak terikat dengan tempoh Cuti
Bersalin berkuat kuasa 1 Januari 2015. Kemudahan ini terhad
untuk tempoh satu tahun dan diperluaskan kepada pegawai
wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang
diambil mengikut undang-undang, anak pelihara dan anak
kurang upaya.
124. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan
penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis
pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda. Mulai
Januari 2015, Kerajaan akan membenarkan majikan
mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat
dua, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak
berkuasa. Tuntasnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini,
sudah tentu mampu mengangkat martabat wanita, dalam
berperanan aktif di persada negara.

Tuan Yang Dipertua,

125. STRATEGI KEENAM: MEMBANGUN PROGRAM
TRANSFORMASI BELIA NEGARA. Bagi saya belia bukan sekadar
harapan bangsa, tidak hanya setakat aset atau rakan kongsi
kepada pembangunan negara, malah nilaian belia adalah lebih
daripada kesemuanya itu. Bertolak daripada itu, Kerajaan
prihatin kepada kehidupan generasi muda yang bakal mewarisi
kepimpinan dan memikul amanah demi kemajuan dan
kemakmuran masa depan Malaysia yang kita cintai ini.
126. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan melancarkan Pelan
Transformasi Belia Negara. Bagi menjayakan pelbagai program
belia, sebanyak 320 juta ringgit diperuntukan untuk tujuan
berikut:
Pertama:
Mengkaji semula Program Latihan Khidmat Negara atau
PLKN dan satu konsep baru yang menjalinkan
keperluan kemahiran dan kenegaraan akan
diperkenalkan dalam sedikit masa lagi;

Kedua:
Menambahbaik program Rakan Muda dan
memperkenalkan program Kem Uniti;

Ketiga:
Mengukuhkan aspek kepimpinan belia melalui
pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia untuk
mengasah bakat kepimpinan di kalangan Belia
Malaysia;


Keempat: Mempergiatkan program kesukarelawan belia melalui
1M4U dan memperkenalkan program MyCorp. Program
MyCorp melibatkan belia menjalankan aktiviti sukarela
kebajikan dan sosio ekonomi di peringkat antarabangsa
dengan peruntukan 10 juta ringgit;

Kelima:
Menggilap bakat keusahawanan di kalangan belia
melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank
serta memperkenalkan Online Resource Centre dan
menganjur persidangan keusahawanan sosial
antarabangsa;

Keenam:
Melaksanakan Program Agropreneur Muda oleh FAMA
yang melibatkan 1,200 orang belia dengan sasaran
pendapatan melebihi 5,000 ringgit sebulan; dan

Ketujuh:
Meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui
Program Transformasi IKBN dan Program Coding
Bootcamp serta program Projek Angkat Dan Upaya atau
PADU.


Tuan Yang Dipertua,

127. Kerajaan juga berhasrat supaya satu ekosistem
komprehensif yang disertai belia dapat disediakan untuk
meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan
dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan
perumahan dan rekreasi. Untuk ini, Kerajaan akan mewujudkan
1Malaysia Youth City dengan peruntukan 100 juta ringgit bagi
membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak.
128. Bila mengupas ehwal belia juga, pemilikan rumah
merupakan satu isu besar khususnya soal harga rumah dan
keboleh biayaan. Menyedari permasalahan ini, sukacita saya
mengumumkan Skim Perumahan Belia atau Youth Housing
Scheme secara perkongsian pintar di antara Kerajaan, Bank
Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan
Cagamas.
129. Skim ini menawarkan pemilikan rumah pertama yang
bernilai tidak melebihi 500 ribu ringgit, kepada belia berkahwin
berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi
rumah tidak melebihi 10 ribu ringgit. Tempoh pembiayaan
maksimum adalah 35 tahun.
130. Di bawah skim ini, sebanyak 200 ringgit sebulan diberikan
oleh Kerajaan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi
mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem ke atas surat cara
pindah milik dan perjanjian pinjaman juga diberi.

131. Lebih menarik, Kerajaan turut menyediakan jaminan
pinjaman sebanyak 10 peratus, bagi membolehkan peminjam
mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insuran.
Peminjam juga boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2
KWSP mereka untuk menampung pembayaran ansuran bulanan
dan kos lain yang berkaitan.
132. Oleh
itu, saya menyeru golongan belia supaya merebut
peluang ini yang ditawarkan secara “first come first served basis”

untuk 20,000 unit rumah sahaja.

Tuan Yang Dipertua,

133. Pada aspek lain, Kerajaan akan mengambil langkah
bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah
negara bersukan. Untuk ini, Kerajaan akan merealisasikan
Blueprint Negara Bersukan atau Sporting Nation. Bagi mencapai
hasrat ini, Kerajaan memperuntukkan 103 juta ringgit bagi
melaksanakan langkah-langkah berikut;
Pertama:
Mempastikan kelestarian dan kesinambungan bakat
sukan bermula daripada peringkat sekolah rendah
melalui Program Malaysian Talent Identification.
Program ini melibatkan pengujian, saringan dan
pengkhususan bakat di kalangan pelajar sekolah;


Kedua:
Meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk
enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama iaitu
Bola Sepak, Berbasikal, Badminton, Sepak Takraw,
Renang dan Olahraga;

Ketiga:
Menyemarakkan Program FitMalaysia yang
menumpukan kepada kecergasan fizikal; dan

Keempat: Menyambut Hari Sukan Negara pada hari Sabtu
pertama dalam bulan November pada setiap tahun
dengan penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat
secara serentak di seluruh negara.

Tuan Yang Dipertua,

134. STRATEGI KETUJUH : MENSEJAHTERA RAKYAT.
Sebenarnya, kemakmuran sesebuah negara bergantung juga
kepada kemampuannya untuk menyediakan tahap kualiti hidup
dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
135. Sebagai langkah meringankan beban perbelanjaan awal
persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar,
khususnya golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan
meneruskan bantuan persekolahan. Bantuan sebanyak 100
ringgit seorang, akan disalurkan mulai Januari tahun depan
kepada seramai 5.4 juta pelajar, sekolah rendah dan menengah
dengan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

136. Selanjutnya, bagi tujuan pembelian buku-buku rujukan dan
peralatan pengajian, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan
Program Baucar Buku 1Malaysia dengan kadar bantuan 250
ringgit seorang. Program ini diperuntukkan sejumlah 325 juta
ringgit dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta
pelajar.
Tuan Yang Dipertua,

137. Bagi Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan, di
samping membantu petani, penternak dan nelayan menambah
pendapatan, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 6 bilion ringgit
kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antaranya
inisiatif yang akan dilaksanakan ialah:
Pertama:
Mulai tahun 2015 sehingga 2017, Kerajaan akan
membuka 65 buah Pasar Tani Kekal dan 50 buah Pasar
Ikan yang beroperasi setiap hari di beberapa lokasi
terpilih. Setakat ini terdapat 526 pasar tani dan 50
pasar ikan di seluruh negara;

Kedua:
Memperkenalkan program lelongan sayur-sayuran
berkualiti dengan harga berpatutan, setiap minggu di
85 lokasi Pusat Operasi Urusniaga FAMA dan pasar tani
terpilih di seluruh negara;

Ketiga:
Merancakkan penanaman dan tanaman semula pokok
buah-buahan seperti durian, manggis, langsat,


rambutan serta memperhebatkan Program Jom Bertani
supaya rakyat mengusahakan tanaman kontan dan
sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri; dan

Keempat: Menyediakan geran pemadanan sebanyak 100 juta
ringgit kepada Lembaga Pertubuhan Peladang untuk
membolehkan ahli-ahlinya membuat pinjaman bagi
meningkatkan produktiviti ladang dan rangkaian
pemasaran.

138. Selain itu, Kerajaan akan mempergiatkan empat Kawasan
Pembangunan Pertanian Bersepadu di Rompin, Batang Lupar,
Kota Belud dan Pekan yang melibatkan kawasan tanaman padi
seluas 25,905 hektar. Bagi tujuan ini, sebagai permulaan,
Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,

139. Semua lapisan rakyat, tidak kira di mana, adalah penting.
Kerajaan amat prihatin tentang pembangunan dan kebajikan
nelayan yang sentiasa menghadapi pelbagai cabaran hidup.
Dalam menangani masalah pendapatan nelayan yang tidak
menentu terutamanya ketika musim tengkujuh, serta
persekitaran perkampungan nelayan yang tidak selesa, Kerajaan
akan:
Pertama:
Menaikkan elaun sara hidup nelayan Zon A kepada 300
ringgit daripada 200 ringgit sebulan. Bagi nelayan Zon


B dan C, elaun sara hidup dinaikkan kepada 250 ringgit
sebulan;

Kedua:
Bagi nelayan darat sepenuh masa, buat pertama
kalinya akan diberi elaun 200 ringgit sebulan.
Pemberian elaun ini melibatkan lebih 44 ribu nelayan;

Ketiga:
Mempergiatkan lagi aktiviti akuakultur seperti
ternakan ikan, udang, kupang dan tiram dalam sangkar
bagi mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan
yang terjejas terutama di musim tengkujuh. Untuk ini,
sebanyak 60 juta ringgit diperuntukkan; dan

Keempat: Memasang Automatic Identification System ke atas botbot
nelayan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan,
mempastikan kedudukan bot nelayan berdasarkan zon
tangkapan dan mengurangkan kos operasi. Untuk
tujuan ini, 27 juta ringgit diperuntukkan.

140. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan peruntukan
sebanyak 300 juta ringgit untuk Projek Khas Perumahan Nelayan
bagi membaik pulih dan membina rumah nelayan. Sebagai
meneruskan usaha murni ini, sukacita saya mengumumkan
tambahan 250 juta ringgit untuk projek perumahan nelayan
dan bagi menyempurnakan lagi perkampungan nelayan.
Tuan Yang Dipertua,


141. Kerajaan amat komited melaksanakan beberapa inisiatif
termasuklah program penyeragaman harga, pemberian subsidi
pengangkutan dan pembukaan lebih banyak Kedai Rakyat
1Malaysia. Untuk itu, antara langkah yang akan dilaksanakan
oleh KPDNKK adalah:
Pertama:
Menambah 20 buah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia atau
KR1M di Semenanjung;

Kedua:
Mewujudkan dan memberi peruntukan kepada
kumpulan pemantau harga atau price watch team dari
kalangan persatuan pengguna; dan

Ketiga:
Memperkukuhkan Unit Penguatkuasaan GST dengan
2,270 anggota, Unit Pemantauan Harga seramai 1,300
anggota dan Skuad Pengguna seramai 202,800
sukarelawan serta penglibatan 579 penghulu dan
penggawa.

Tuan Yang Dipertua,

142. Bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam pula,
Kerajaan akan memperkenalkan beberapa program berikut:
Pertama: Menyediakan perkhidmatan bas antara bandar kepada
penduduk yang menetap di luar tetapi bekerja di Kuala
Lumpur. Kemudahan ini menawarkan tambang
bulanan pada kadar diskaun 30 peratus. Sebagai


permulaan, 3 laluan bas akan beroperasi iaitu Rawang-
KL; Klang-KL dan Seremban-KL;

Kedua:
Menyediakan perkhidmatan Electric Train Service atau
ETS Ipoh-Butterworth bermula pada April 2015; dan

Ketiga:
Menambahbaik Perkhidmatan Bas Berhenti-henti di
beberapa ibu negeri melalui sistem kontrak dengan
syarikat bas sedia ada. Pelaksanaan program ini adalah
secara berperingkat dan akan melibatkan Bandaraya
Kuching, Ipoh, Seremban, Kuala Terengganu dan
Kangar.

Tuan Yang Dipertua,

143. Baru-baru ini Kerajaan telah memberi bantuan khas
sebanyak 500 ringgit secara one-off kepada pekebun kecil getah
yang terjejas akibat kejatuhan harga getah. Lembaga Getah
Malaysia atau LGM akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi
melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang
untuk melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian
terutamanya sewaktu harga pasaran dunia lebih rendah daripada
harga minimum yang ditetapkan. LGM akan turut menyediakan
pinjaman mudah berjumlah 6.4 juta ringgit sebagai modal
pusingan kepada 64 buah koperasi pekebun kecil bagi membeli
getah terus daripada kira-kira 442,000 pekebun kecil getah di
seluruh negara.

144. Bagi pekebun kecil kelapa sawit pula, Kerajaan akan
meneruskan insentif untuk penanaman baru dan penanaman
semula dengan peruntukan sebanyak 41 juta ringgit. Di samping
itu, pengecualian duti eksport minyak sawit mentah atau CPO
akan dilanjutkan sehingga bulan Disember 2014.
Tuan Yang Dipertua,

145. Bagi perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat,
Kerajaan akan memperuntukkan 23.3 bilion ringgit untuk
pelaksanaan inisiatif berikut:
Pertama:
Membina dua buah hospital iaitu Hospital Dungun di
Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak.
Membina 20 Klinik Kesihatan dan 4 Klinik Pergigian
antaranya di Klinik Kesihatan di Kuala Lipis, Pahang,
dan Klinik Pergigian di Kluang, Johor;

Kedua:
Menambah 30 Klinik 1Malaysia yang menjadikan
jumlah keseluruhan sebanyak 290 buah di seluruh
negara dan membina sebuah Klinik Kesihatan di
Cyberjaya. Kerajaan juga akan menempatkan 30 orang
doktor perubatan di 30 Klinik 1Malaysia;

Ketiga:
Mengganti 635 unit mesin hemodalisis di hospital dan
klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak 30 juta
ringgit. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta,
Kerajaan akan menyediakan ruang di hospital dan


klinik kesihatan Kerajaan untuk menempatkan 244
buah mesin hemodalisis lagi yang akan disumbangkan
oleh sektor swasta dalam memenuhi tanggungjawab
sosial korporat mereka; dan

Keempat: Menyediakan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani
rawatan hemodialisis kronik dan akut dengan
peruntukan sebanyak 45.4 juta ringgit.

146. Pada masa ini, perbelanjaan perubatan penyakit serius
seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan serangan jantung
telah diberi pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit. Bagi
meringankan tanggungan kos rawatan dan perubatan penyakit
serius ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai ini
ditingkatkan kepada 6,000 ringgit. Pelepasan cukai ini bukan
sahaja untuk pembayar cukai itu sendiri tetapi juga meliputi
pasangan dan anak.
147. Mutakhir ini, penularan wabak demam denggi semakin
serius. Bagi mengekang penularan wabak berkenaan, program
pencegahan denggi akan dipertingkatkan, melalui kesedaran
komuniti dan perolehan peralatan pencegahan denggi seperti reagen,
Ultra Low Volume dan Mist Blower. Di samping itu, Kerajaan
akan mengagihkan sebanyak 55 ribu test kit denggi kepada semua
klinik swasta untuk mempercepatkan proses pengesanan awal
denggi secara percuma. Untuk itu, sebanyak 30 juta ringgit
diperuntukkan.

Tuan Yang Dipertua,

148. Kerajaan amat prihatin terutama kepada golongan yang
memerlukan. Selaras dengan ini, Kerajaan memperuntukkan
sebanyak 2.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program
berikut:
Pertama:
Menyediakan 1.2 bilion ringgit bantuan kewangan
kepada keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas
dan Orang Kelainan Upaya atau OKU. Untuk
menunjukan keprihatinan kepada golongan ini,
Kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja
dinaikan daripada 300 ringgit kepada 350 ringgit
manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada
150 ringgit kepada 200 ringgit. Ini memberi manfaat
kepada 110 ribu OKU, dengan peruntukan 66 juta
ringgit;

Kedua:
Menaikkan pelepasan cukai bagi setiap anak yang OKU
daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit;

Ketiga:
Menaikkan pelepasan cukai bagi pembelian peralatan
sokongan asas bagi diri sendiri, pasangan, anak dan ibu
bapa yang OKU daripada 5,000 ringgit kepada 6,000
ringgit;


Keempat: Menaikkan kadar makanan harian 8,700 penghuni di
63 institusi Jabatan Kemajuan Masyarakat daripada 8
ringgit kepada 16 ringgit;

Kelima:
Meningkatkan geran tahunan Majlis Kebangsaan bagi
OKU, daripada 500 ribu ringgit kepada 1 juta ringgit;
dan

Keenam:
Menambah 5 buah Pusat Aktiviti Warga Emas
menjadikan 50 buah di seluruh negara serta Unit
Penyayang Warga Emas yang menyediakan
pengangkutan percuma kepada warga emas ke
hospital.

149. Di samping itu, bagi mengukuhkan pendidikan awal kanakkanak,
Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 711
juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas,
PERMATA dan Tabika Perpaduan.
Tuan Yang Dipertua,

150. Untuk menangani isu pemilikan rumah dengan harga yang
berpatutan, pelbagai projek dan program akan terus
dilaksanakan, antaranya:
Pertama:
Membina 80 ribu unit rumah PR1MA dengan
peruntukan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Had kelayakan
pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada 8 ribu


ringgit kepada 10 ribu ringgit. Selain itu, Skim
Pembiayaan Sewa-beli atau rent-to-own akan
diperkenalkan kepada individu yang tidak berupaya
mendapat pembiayaan daripada bank;

Kedua:
Membina 26 ribu unit rumah Program Perumahan
Rakyat oleh Jabatan Perumahan Negara dengan
peruntukan sebanyak 644 juta ringgit; dan

Ketiga:
Membina 12 ribu unit Rumah Mesra Rakyat dan 5 ribu
unit Rumah Idaman Rakyat oleh Syarikat Perumahan
Negara Berhad. Di samping itu, SPNB juga akan
membina 20 ribu unit Rumah Aspirasi Rakyat di atas
tanah persendirian.

151. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah
pertama dan mengurangkan kos membeli rumah, Kerajaan
bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus ke
atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman serta
menaikkan had harga rumah daripada 400 ribu ringgit kepada
500 ribu ringgit. Pengecualian ini diberikan sehingga 31 Disember
2016.
152. Kerajaan juga bersetuju menambah baik program Skim
Rumah Pertamaku kendalian Cagamas, dengan menaikkan had
nilai harga rumah kepada 500 ribu ringgit, selaras dengan
pengecualian duti setem tersebut. Di samping itu, had kelayakan

umur peminjam bagi skim ini akan dinaikkan daripada 35 kepada
40 tahun.

153. Bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang mendiami
perumahan kos rendah awam, peruntukan penyelenggaraan
sebanyak 40 juta ringgit disediakan di bawah Program
Penyelenggaraan Perumahan Awam. Manakala bagi
penyelenggaraan perumahan kos rendah swasta pula, 100 juta
ringgit disediakan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,

154. Pada masa ini, cukai keuntungan ke atas pelupusan sesuatu
harta tanah di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976
ditaksir secara formal. Kerajaan telah melaksanakan sistem
taksiran sendiri bagi cukai pendapatan individu dan syarikat
sejak tahun 2001 dan 2004. Selaras dengan hasrat Kerajaan
untuk terus memodenkan sistem percukaian negara dan
memandangkan pembayar cukai pada masa ini lebih
bertanggungjawab, adalah dicadangkan mulai tahun 2016, cukai
keuntungan ke atas pelupusan harta tanah ditaksir secara
sendiri bagi tujuan pengiraan cukai keuntungan harta tanah.
155. Kerajaan juga terus komited menyedia dan menaiktaraf
kemudahan dan infrastruktur luar bandar. Sejumlah 4.5 bilion
ringgit akan diperuntukkan terutamanya di Sabah dan Sarawak
bagi melaksanakan program berikut, antaranya:

Pertama:
projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer
termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan
Sarawak dengan peruntukan sebanyak 943 juta ringgit;

Kedua:
Melaksanakan program penyambungan bekalan
elektrik kepada lebih 15 ribu buah rumah dengan
peruntukan sebanyak 1.1 bilion ringgit;

Ketiga:
program bekalan air bersih luar bandar kepada 7,500
buah rumah dengan peruntukan sebanyak 394 juta
ringgit;

Keempat: program membina dan membaik pulih rumah usang
melibatkan 9,500 buah rumah dengan peruntukan
sebanyak 200 juta ringgit;

Kelima:
Meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar bandar
di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan
sewaan pesawat baru dengan peruntukan sebanyak
160 juta ringgit;

Keenam:
Melaksanakan program pembangunan ekonomi,
kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan taraf
hidup masyarakat Orang Asli dengan peruntukan
sebanyak 352 juta ringgit; dan

Ketujuh: Menambah sepuluh batang tiang lampu
menjadikannya 20 batang tiang lampu di setiap


kampung di seluruh negara yang melibatkan lebih 22
ribu kampung dengan peruntukan sebanyak 26 juta
ringgit. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 56 juta
ringgit bagi menyediakan lampu jalan kampung.

Tuan Yang Dipertua,

156. Bekalan air merupakan elemen penting dalam kehidupan
seharian setiap insan dan industri. Sehubungan itu, Kerajaan
akan menyediakan National Water Blueprint bagi mempastikan
kelangsungan bekalan air di seluruh negara untuk jangka
panjang. Ini termasuk pengurusan sungai secara holistik,
pembinaan dan penambahbaikan loji-loji rawatan air.
157. Sumber bekalan air juga dipelbagaikan melalui penerokaan
air bawah tanah, penggunaan semula air terawat untuk industri
dan pertanian serta meluaskan penggunaan storm water retainer
system. Bagi mengatasi kekurangan bekalan air di Lembah Klang,
pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 akan digiatkan. Ini
melibatkan kos sebanyak 3 bilion ringgit yang mampu menambah
bekalan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari.
158. Di samping itu, untuk mengatasi masalah kehilangan air
tidak berhasil atau Non Revenue Water, sebanyak 112 juta ringgit
diperuntukkan bagi kerja-kerja mewujudkan zon kawalan
kebocoran, menjalankan kerja pengesanan dan pembaikan paippaip
bocor.

Tuan Yang Dipertua,

159. Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman
awam serta pertahanan negara, peruntukan sebanyak 17.7 bilion
ringgit disediakan untuk Angkatan Tentera Malaysia, sementara
sebanyak 9.1 bilion ringgit diperuntukkan untuk Polis DiRaja
Malaysia. Sejumlah 804 juta ringgit juga, diperuntukkan kepada
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memperkukuhkan
penguatkuasaan maritim.
160. Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah di
negara ini, yang menjadi salah satu daripada Bidang
Keberhasilan Utama Negara. Untuk ini, Kerajaan telah
meluluskan tambahan sebanyak 11,757 perjawatan anggota
polis, selain membina sebanyak 14 Ibu Pejabat Polis dan Balai
Polis, termasuk bangunan baharu IPK Perlis serta terus
memperkukuhkan dengan penambahan 1,000 lagi unit rondaan
bermotosikal PDRM. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 121 juta ringgit kepada PDRM untuk melaksanakan
pelbagai program NKRA.
161. Bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota tentera,
sebanyak 7 bilion ringgit diperuntukkan untuk memperoleh dan
menyelenggara aset-aset pertahanan. Selain itu, kebajikan
anggota tentera akan dipertingkatkan termasuk perkhidmatan
kesihatan dan penyediaan kediaman.

162. Manakala, bagi meningkatkan keselamatan maritim, APMM
disediakan peruntukan sebanyak 393 juta ringgit. Ini adalah
untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pembelian 7 buah
kapal peronda baharu.
Tuan Yang Dipertua,

163. Selain itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia di bawah
Kementerian Dalam Negeri atau RELA, akan terus memainkan
peranan sebagai sebuah agensi sukarelawan untuk membantu
pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan
keamanan negara. Sebanyak 117 juta ringgit akan disediakan
terutamanya untuk latihan dan bina upaya bagi mengukuh
peranan RELA.
Tuan Yang Dipertua,

164. Sejak dahulu, Kerajaan sememangnya mengiktiraf peranan
penting NGO. Justeru, saya mengisytiharkan tahun hadapan
sebagai pemerkasaan NGO dan kesukarelawan atau MyNGO
2015. Untuk itu, geran secara one-off dengan peruntukan 50
juta ringgit disediakan kepada NGO berwibawa termasuk yang
beruniform, melibatkan program berasaskan pembangunan
komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kepenggunaan,
kesihatan dan keselamatan
Tuan Yang Dipertua,


165. Ahli-Ahli Dewan yang mulia, serta rakyat Malaysia dikasihi
sekalian yang sedang menyaksikan bajet 2015 ini, di kaca-kaca
televisyen dan mendengar di corong-corong radio luar sana.
166. Bersyukurlah..bersyukurlah.. kita semua berpijak di atas
bumi yang aman, sentosa lagi permai. Menjunjung pula langit luas
terbentang. Secara geografinya, tanah air bertuah ini, terpisah
oleh Laut China Selatan, menggabungkan Tanah Semenanjung,
dengan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah kesatuan yang
berkeramat, bermula dari Arau, Perlis, membawa hingga ke
Semporna, Sabah sampai ke penghujung Ulu Lachau, Sarawak
meliputi kawasan seluas hampir 330,290 kilometer persegi.
Tuan Yang Dipertua,

167. Sudah menjadi lumrah kehidupan ada pasang surutnya.
Bak kata pujangga...,musim panas..., kehujanan..., musim
hujan..., kepanasan. Sesungguhnya, tahun 2014 menjadi takwim
yang penuh dugaan. Pada suku tahun pertama, belum pun lagi
reda dengan misteri kehilangan MH370, rakyat Malaysia
dikejutkan pula dengan peristiwa tragik pesawat MH17 milik
Malaysia Airlines System ditembak jatuh di Timur Ukraine.
168. Meski apapun, berbekal pengertian surah ke-94 Al-Insyirah,
pada setiap kesukaran itu pastinya ada hikmah-hikmah dan
kesenangan yang menanti. Tampaknya, rakyat Malaysia
menerima dengan tenang dan tabah akan apa yang telah berlaku.

Kita telah bersatu dalam suasana kesedihan, membentuk
solidariti yang tidak terpecah bentengnya.

169. Menghadapi krisis ini, Kerajaan telah berusaha tanpa lelah,
sehingga tidak pernah terjadi dalam sejarah, perundingan penuh
dramatik dan berdiplomasi dengan puak pemisah yang tidak
beridentiti negara, demi mencari penyelesaian mendapatkan
kotak hitam, memasuki kawasan kejadian, sehingga berjaya
membawa pulang, hampir kesemua jenazah yang terkorban
kembali ke bumi Malaysia di mana mereka berasal.
170. Walau apapun, life goes on, hidup perlu diteruskan. Apa
yang mustahaknya, apabila cabaran datang melanda, rakyat
Malaysia telah berjaya keluar sebagai juara.
Tuan Yang Dipertua,

171. Di atas segalanya, memetik madah Rabindranath Tagore,
seorang pujangga terkenal bahawa, “...Janganlah kita menangis
kerana matahari telah menghilang sebentar daripada kehidupan,
kerana airmata itu bisa menghalang kita melihat bintang-bintang
yang masih bergemerlapan...”


Tuan Yang Dipertua,

172. Saya yakin, dalam kemajmukan dan kepelbagaian agama,
masing-masing telah pun berbuat sehabis baik dan berdoa
mengikut kepercayaan semua demi kebaikan Malaysia. Bagi

pihak Kerajaan pula, antara lain, kita menzahirkan rasa syukur
atas banyak kurniaan Ilahi dan bersetuju membina Pusat
Percetakan Al-Quran di Putrajaya, yakni kedua terbesar di dunia
selepas Arab Saudi. Pusat ini atas inisiatif Kerajaan, bersama
Yayasan Restu, dijangka dapat mencetak sehingga sejuta
naskhah Al-Quran setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia.
Selain itu, Pusat ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat
dan penggemar seni khat. Untuk itu, Kerajaan akan
memperuntukkan 30 juta ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Tuan Yang Dipertua,

173. Seperti saban tahun, saya sebutkan bahawa, Malaysia yang
terbina seutuh ini, tidak lain dan tidak bukan, hasil mahsul kerja
keras Kerajaan Barisan Nasional, selama berdekad-dekad yang
disokong oleh rakyat. Tidak seperti pihak pembangkang yang
siiiiiibukkkkkkkk merebut kuasa sesama sendiri, berkemelut
dalam parti, sehingga pihak istana pun menjadi murka.
Tuan Yang Dipertua,

174. Alhamdulillah...,Alhamdulillah..., di celah-celah pelbagai
dugaan ini, Malaysia melangkah gagah dengan banyak catatan
pencapaian di peringkat global, antaranya:

Pertama: Memperbaiki kedudukan dalam Laporan World
Competitiveness Index 2014, menduduki tangga ke-12
daripada tangga ke-15 pada tahun sebelumnya.
Kedudukan tersebut menunjukkan kita lebih
kompetitif berbanding United Kingdom, Australia dan
Finland;

Kedua:
Menduduki tangga ke-3 terbaik daripada 22 buah
negara bagi penilaian Best Emerging Markets yang
dikeluarkan oleh Bloomberg; dan

Ketiga:
Menduduki tangga ke-6 daripada 189 buah negara,
dalam Laporan Ease of Doing Business oleh Bank
Dunia, di mana kita menduduki tangga pertama dalam
aspek mendapatkan kemudahan pembiayaan.

175. Berhubung ini, menurut hadis, bersyukur kepada Tuhan,
bererti juga, berterima kasih sesama manusia.
176. Maka demikian, jika pada bajet yang lalu, saya telah
mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.
Dalam bajet kali ini, Kerajaan akan menambahbaik lagi 252 skim
perkhidmatan sedia ada, untuk meningkatkan keberkesanan
sistem penyampaian perkhidmatan awam.
177. Di samping itu, bagi menghargai khidmat pegawai dan
kakitangan kontrak KEMAS, JASA, JPNIN, JAKIM dan Seranta
FELDA yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat

perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib, Kerajaan
bersetuju memberikan bantuan bulanan sebanyak 300 ringgit
seorang. Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu.

Tuan Yang Dipertua,

178. Sebetulnya, Kerajaan prihatin terhadap kesukaran penjawat
awam untuk mendapat pembiayaan memiliki rumah. Oleh itu,
saya mengumumkan had kelayakan minimum pinjaman
perumahan dinaikkan daripada kadar 80 ribu ringgit, kepada 120
ribu ringgit dan bagi had kelayakan maksimum, dinaikkan
daripada 450 ribu ringgit kepada 600 ribu ringgit. Serentak itu,
wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak
100 ringgit kita mansuhkan. Kedua-dua cadangan ini,
berkuatkuasa pada 1 Januari 2015.
179. Bertolak dari sini, Kerajaan juga komited untuk terus
meningkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia
atau PPA1M. Pada masa ini, sebanyak 10,639 unit rumah telah
diluluskan untuk pembinaan. Pada tahun 2015, bagi
membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah,
Kerajaan bersetuju untuk membina 5,380 unit rumah lagi, iaitu
di Putrajaya 1,600 unit; di Bukit Jalil 1,530 unit; di Papar, Sabah
1,290 unit dan di Bukit Pinang, Kedah 960 unit. Di samping itu,
Kerajaan juga menambah baik PPA1M seperti berikut:

Pertama:
Menurunkan harga minimum rumah PPA1M yang kini
berharga 150 ribu kepada 90 ribu ringgit seunit dengan
keluasan lantai minimum 850 kaki persegi;

Kedua:
Menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah
daripada 8,000 ringgit kepada 10,000 ringgit; dan

Ketiga:
Menyediakan dana mudahcara sehingga 25 peratus
daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai
skim PPA1M.

180. Laginya, keadaan rumah yang baik dan selesa didiami akan
meningkatkan produktiviti penjawat awam. Untuk itu, Kerajaan
menyediakan 500 juta ringgit untuk membaik pulih dan
menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru
dan kakitangan kesihatan di seluruh negara. Sebanyak 105 juta
ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk
penyelenggaraan kuarters Kerajaan, di bawah Program
MyBeautiful Malaysia yang melibatkan 126 lokasi.

Tuan Yang Dipertua,

181. Dengan mengambil kira peningkatan hasil GST dan
kemampuan fiskal Kerajaan, kita tingkatkan pemberian Bantuan
Rakyat 1Malaysia atau BR1M daripada 650 ringgit kepada 950
ringgit. Ini, untuk isi rumah berpendapatan bulanan tiga ribu
ringgit ke bawah. Bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali
setahun, iaitu 300 ringgit akan dibayar pada Januari dan Mei,
manakala bakinya sebanyak 350 ringgit akan dibayar mulai
September 2015.
182. Seterusnya, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara
tiga ribu hingga empat ribu ringgit, Kerajaan akan meningkatkan
nilai BR1M daripada 450 ringgit kepada 750 ringgit. Bantuan ini
akan dibayar sebanyak tiga kali setahun juga, iaitu 200 ringgit
akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak
350 ringgit akan dibayar mulai September 2015.
183. Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan
berpendapatan tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, Kerajaan
akan meningkatkan nilai BR1M daripada 300 ringgit kepada 350
ringgit. Bayaran bantuan ini akan dibuat sekaligus mulai awal
tahun hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

184. Kerajaan juga akan menggantikan insurans takaful
berkelompok atau i-BR1M yang telah diperkenalkan sebelum ini
dengan Skim Khairat Kematian. Skim ini akan memberi manfaat
kepada waris penerima BR1M dengan bantuan 1,000 ringgit yang
akan berkuat kuasa selama setahun.
Tuan Yang Dipertua,

185. Kita sedar bahawa, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen
begitu besar dan bermakna pada komuniti dan masyarakat
setempat. Ahli-ahli Parlimen adalah ketua yang perlu memimpin
masyarakat setempat dari semua aspek termasuk kebajikan,
keagamaan, sosial dan pendidikan.
186. Dengan kata lain, khidmat Ahli Parlimen sebagai wakil atau
pemimpin di kawasan parlimen masing-masing adalah mendesak
tidak kira waktu. Bagi mencerminkan tahap tanggungjawab dan
kepimpinan ini, sukacita saya mencadangkan agar elaun Ahli-
Ahli Parlimen dinaikkan seperti berikut:
.
Ahli Dewan Rakyat elaunnya dinaikkan daripada
bersamaan gred 54 kepada bersamaan gred Jusa C
bersesuaian dengan peranan kepimpinannya; dan

.
Ahli Dewan Negara elaunnya dinaikkan daripada
bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan
Jusa C.


187. Cadangan ini juga akan melibatkan kenaikan gaji dan elaun
Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan Yang Di Pertua Dewan Negara
serta Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang
Di Pertua Dewan Negara sewajarnya, berkuatkuasa 1 Januari
2015.
Tuan Yang Dipertua,

188. Walau bagaimanapun…., walau bagaimanapun…, mohon
bertenang…., mohon bertenang…, Kerajaan telah mengambil
keputusan supaya, semakan kenaikan gaji bagi anggota
pentadbiran dikaji serta ditangguhkan keputusannya sehingga
satu masa yang bersesuaian. Ini termasuklah Perdana Menteri,
Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet dan
Timbalan–Timbalan Menteri.
Tuan Yang Dipertua,

189. Sebagai penutup, seperti biasalah…, seperti biasalah…,
buah yang ranum, sudah pun mahu gugur. Makanya, sukacita
saya mengumumkan, pemberian bonus sebanyak setengah
bulan gaji kepada penjawat awam dengan bayaran minimum 500
ringgit. Pemberian bonus ini akan dibayar pada bulan Januari
2015. Kepada pesara Kerajaan pula, bayaran bantuan khas diberi
sebanyak 250 ringgit.

190. Saya berharap, pemberian ini sedikit sebanyak dapat
meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga
kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga
untuk persediaan musim awal persekolahan nanti.
Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Seluruh
Rakyat Yang Sedang Menonton dan Mendengar Bajet ini,

191. Semoga Allah membentang seluas-luas rezeki dan
mempermudahkan selurus-lurus jalan bagi pelaksanaan bajet
Ekonomi Keperluan Rakyat yang digubah ini.
192. Marilah berdoa dan berharap, apabila kejayaan mula
menyentuh, mudah-mudahan bahagia mendatangi. KepadaMu
Tuhan, Ya Ilahi Ya Rabbi, kami meminta selamatkan tanah air ini
daripada mara bahaya. Rahmatilah roh serta jasad pertiwi



terkasih ini, buat selamanya-lamanya.