Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA SEHINGGA 9/12/2017

Pimpinan PERDASAMA Pusat - EXCO PERDASAMA MALAYSIA SEHINGGA 9/12/2017
PERDASAMA Satu Pasukan Satu Tujuan

Saturday, June 14, 2008

Perasmian Mesyuarat Agong Perdasama 2008


Ucapan Y Bhg Tan Sri Dato Azman Haji Mokhtar
di Upacara Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan
PERDASAMA pada 12 hb Jun, 2008.

Assalamualaikum wbrt.

Alhamdulillah, saya malafazkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya, dapat kita bersama pada pagi yang mulia ini di dalam keadaan sihat sejahtera di dalam majlis tahunan Perdasama.

Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada pihak Perdasama kerana memberikan ruang untuk bersemuka dan berdialog dengan ahli-ahli usahawan Melayu di majlis tahunan ini. Saya berdiri di sini sebagai wakil kepada Yang Berhormat Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua, yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad dan juga Pengerusi Jawatankuasa Putrajaya Mengenai
Prestasi Tinggi Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Yang Berhormat Tan Sri Menteri tidak dapat hadir bersama kita pagi ini atas urusan negara yang lain, menyampaikan salam hormatnya kepada tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian, dan seterusnya mengarahkan saya untuk menyampaikan pesanan dan amanat untuk kita bersama terus berusaha memainkan peranan masing–masing untuk menjayakan dan membangunkan lagi agenda pembangunan negara umumnya dan agenda pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB atau BCIC) khususnya.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan peribadi serta terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Y.Bhg. dan yang sangat berusaha Dato’ Izat Emir, Presiden Perdasama, yang mana daripada jarang-jarang kita berjumpa entah bagaimana telah di lorongkan berjumpa tiga kali di dalam dua minggu yang lalu. Pertama kalinya dua Jumaat yang lepas secara terserempak mesra di Masjid Negara, yang kedua tiga hari yang lalu serius bekerja di pejabat saya dan hari ini,
sebagai bidan yang agak terjun di majlis tahunan Perdasama. Alhamdullilah, insyaAllah, ketiganya adalah pertemuan yang baik semuanya dan mudah-mudahan akan kita memanfaatkan lagi bersama nanti.

Saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi tinggi tahniah kepada Perdasama yang menyambut ulangtahun yang ke 10 tahun ini. Dari titik permulaan yang semestinya mencabar di dalam kecamukan krisis kewangan Asia tahun 1997-1998, suatu krisis kewangan yang membawa kembali suatu memori yang masih jelas kepada diri saya yakni pemergian mengejut tokoh, bahkan, pahlawan korporat pengusaha Melayu yang ulung, Allahyarham Tan Sri
Yahaya Ahmad pada awal tahun 1997, seolah-olah satu petanda akan ribut krisis yang bakal melanda beberapa bulan kemudian yang telah membawa segala macam cabaran dan tekanan di dalam suasana ekonomi, perniagaan dan juga politik.

Dari titik permulaan yang sangat mencabar itu, alhamdullilah, Perdasama telah berjaya untuk membangunkan semangat pemuafakatan di kalangan peniaga dan usahawan Melayu untuk menjadi antara sebuah daripada persatuan yang penting dan ulung di dalam sistem ekologi BCIC kita. Izinkan saya mengucapkan syabas kepada ahli lembaga pengarah, AJK, dan barisan pengurusan dan kepimpinan lain dan seterusnya ahli ahli Perdasama.

2. Pembangunan Bangsa, Pembangunan Negara

Alhamdullilah, sepuluh tahun selepas wujudnya Perdasama, negara telah berjaya keluar, melepaskan diri daripada cengkaman krisis kewangan penghujung tahun 1990-an, dan terus melangkah ke hadapan. Dari sudut ekonomi dan kewangan makro banyak petanda, sama ada dari kadar pertumbuhan KDNK, rizab negara bahkan tahap pasaran saham Bursa Malaysia,
adalah lebih baik, malah sesetengah angka, jauh lebih baik dari tahapnya sepuluh tahun yang lalu. Bahkan, dalam setengah abad - 50 tahun Merdeka – kita juga dapat merakamkan rekod cemerlang pertumbuhan KDNK pada kadar purata 6.3% setiap tahun untuk 50 tahun. Kita juga mencatat suatu rekod dunia, mungkin pingat emas jikalau ada acara Olimpik, untuk pembasmian kemiskinan daripada lebih dari 50% pada tahun 1957 sehingga kurang dari 5% sekarang.

Alhamdullilah, eloklah kita mengambil sedikit masa untuk mengucapkan syukur kita kepada Allah SWT yang memelihara kita, Dia yang memberi dan Maha Kaya, dan juga mengucapkan terima kasih kepada usaha murni bersama rakyat jelata dan kepimpinan masa lampau, dan masa kini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang di hormati sekelian,

Malah, kita semua hayati bahawa kejayaan-kejayaan ini tidak akan membawa makna atau membawa kepada kejayaan-kejayaan seterusnya dan berkekalan jika pembangunan dan kejayaan negara tidak disertai dengan pembangunan seimbang dari segala sudut, antaranya dari sudut fizikal dan rohani, dari sudut kota dan desa dan dari sudut antara masyarakat dan antara kaum.

Sememangnya telah banyak diperkatakan berkenaan tertinggalnya orang Melayu dan Bumiputera di dalam pengeluaran, pembahagian dan perkongsian ekonomi negara. Keadaan yang tidak “sustainable” ini kita semua sedia maklum dan sememangnya adalah cabaran bersama kita, lebih-lebih lagi di dalam keadaan ekonomi dunia dan negara yang begitu mencabar kini, dengan kenaikan harga bahan-bahan mentah dan keperluan harian, kepada suasana
globalisasi yang membawa kepada persaingan yang lebih sengit lagi.

Di dalam suasana ini, dan atas amanat kita bersama untuk membangunkan negara amnya dan masyarakat perniagaan Melayu dan Bumiputera khususnya, ingin saya memberi sedikit pandangan, beberapa pemerhatian dan cadangan yang di harapkan dapat menjadi antara ramuan yang bersama-sama mungkin dapat kita jamukan sebagai ubat bersama. Izinkan saya mengumpulkan pandangan dan cadangan ini di dalam tiga kelompok atau prinsip.


Yang Pertama: “Ekologi”

Maksudnya, cabaran ini adalan cabaran bersama. Setiap kumpulan atau badan wujud di dalam suatu ekologi atau persekitaran yang saling memerlukan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Sesetengahnya mungkin lebih berkuasa dari yang lain, mungkin lebih memerlukan dari yang lain, tetapi setiap bahagian mempunyai kekuatan, keperluan, kelemahan dan sememangnya, tugas masing-masing. Tidak mungkin mana-mana satu pihak sama ada
Kerajaan, GLC, usahawan, syarikat bukan GLC atau persatuan dan NGO seperti Perdasama, dapat menyelesaikan masaalah dan cabaran bersama ini secara persendirian. Ini adalah titik permulaan untuk kita berkongsi fikiran dan bekerja-sama

Yang Kedua: “Efficiency”

“Efficiency” atau kecekapan dan produktiviti ini kita semua sedia maklum adalah amat penting, malah lebih daripada itu di dalam dunia yang berdaya saing ini, adalah kritikal dari segi “survival” sendiri. Kita semua sedia maklum bahawa pertambahan nilai ataupun value-creation yang berterusan akan hanya berlaku apabila “efficiency” dan produktiviti berlaku. Ini adalah naluri dunia, dan juga, mungkin boleh diketengahkan, adalah juga naluri abadi, yakni kejayaan
berkekalan akan hanya wujud dengan izin Allah dan usaha manusia di mana suatu pendekatan dan pengeluaran, pembinaan dan kesempurnaan kerja berlaku dengan efficient, baik dan produktif. Kualiti kerja yang baik pada akhir nya menjadi penentuan kejayaan yang berkekalan.


Yang Ketiga : “Meritokrasi” .. “Meritokrasi berlandaskan pembangunan”

Perkataan meritokrasi ini tuan tuan dan puan puan kita sedia maklum sememangnya membawa pelbagai reaksi di dalam dunia bisnes dan politik. Yang penting, elok kita teliti dan kupaskan perkataan ini di dalam konteks pembangunan negara. Dari satu sudut, meritokrasi adalah berlandaskan prinsip keadilan di mana yang lebih bagus dan berwibawa di beri keutamaan. Ini suatu konsep yang mudah dan simple yang setiap insan memahami. Sesetengah ahli ekonomi menamakan prinsip ini sebagai prinsip “static efficiency”.

Tetapi, kita harus lihat dengan lebih mendalam; kupasan seterusnya juga membawa kepada suatu kaedah, juga menjadi prinsip semula jadi yang mana pembangunan dan keadilan adalah berlandaskan kepada prinsip ihsan dan memberi peluang, ruang dan bekalan bahan yang secukupnya untuk mana mana pihak yang sedia berusaha untuk maju ke hapadan. Ahli ahli ekonomi yang sama memanggil prinsip ini prinsip “dynamic efficiency”, di mana pembahagian atau anugerah tidak sahaja di beri dengan cara “static” kepada yang lebih bagus, tetapi harus di ambil kira juga keadaan permulaan dan juga handicap yang harus di lalui oleh pesaing yang lain.

Kita semua fahami contoh pencapaian 10 A seorang anak muda daripada keluarga yang mungkin papa, bersekolah di desa yang serba kekurangan adalah merupakan pencapaian yang lebih tinggi dan lebih bermakna daripada keputusan yang sama oleh rakannya di sekolah kota, yang serba cukup prasarana dan berkeluarga serba ada. Hatta, prinsip “dynamic efficiency” ini adalah lebih mirip kepada, bahkan adalah intipati semangat dan prinsip pembangunan dengan ihsan dan “growth with equity”. Sehubungan ini, saya mencadangkan suatu penggunaan perkataan meritokrasi yang dimaksudkan ialah sebenarnya “developmental meritocracy” atau “meritokrasi berlandaskan pembangunan” yang berlandaskan prinsip ini di mana perlaksanaan meritocracy yang amat penting untuk membina hasil ini di sertakan dengan prinsip pembangunan dan ihsan.

3. Transformasi dan Peranan GLC

Berlandaskan tiga prinsip utama ini, yakni ekologi, efficiency dan meritokrasi berlandaskan pembangunan, ingin saya mengambil peluang ini untuk memberi penerangan sedikit mengenai peranan dan transformasi GLC. Saya berterima kasih sekali lagi kepada Y.Bhg Dato Izat kerana memberi saya peluang untuk memberi penerangan. Sememangnya banyak persoalan mengenai peranan GLC terutamanya di dalam memberi peluang kepada usahawan-usahawan Melayu
dan Bumiputera dan berkenaan isu “crowding out” atau penyempitan peluang usahawan-usahawan sektor bukan GLC termasuk syarikat swasta Melayu dan Bumiputera .

Secara terus terang ingin saya nyatakan bahawa sememangnya dunia GLC ini walaupun dengan beberapa kejayaan program transformasi beberapa tahun yang lepas, adalah masih jauh lagi daripada sampai ke peringkat cukup mantap dan sempurna. Walaupun terdapat kekurangan ini, saya yakin akan tiga perkara

Pertama, bahawa GLC terus komited dan saya percaya telah banyak menyumbang dan memberi peluang pembangunan dan keusahawanan yang telah bermula lebih dari 20 tahun yang lalu. Kita semua sedia maklum berkenaan rancangan-rancangan seperti program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) yang diwujudkan bagi membantu GLC mencapai matlamat pembangunan ini. Beberapa contoh BVDP di GLC adalah:

Daripada RM3 bilion dibelanjakan oleh TM untuk pemerolehan pada 2007,
RM2.1 bil atau 77.1 peratus adalah bagi vendor bumiputera.

Daripada RM3.7 bilion pemerolehan TNB untuk 2006, RM2.3 bil atau 61.5
peratus adalah bagi vendor bumiputera

Sebanyak RM3.2 bil atau 64 peratus jumlah kontrak pemerolehan UEM
pada tahun 2007 diberikan kepada vendor bukan anak-anak syarikat
termasuk vendor bumiputera, tempatan dan asing.

Banyak lagi angka-angka seperti ini telah dirakamkan, dan angka-angka ini dari segi jumlah mutlak dan jumlah peratusan adalah jauh lebih tinggi dari sektorsektor lain termasuk sektor korporat bukan GLC.

Juga perlu di nyatakan, GLC turut memainkan peranan yang amat besar dalam pembangunan modal insan masyarakat Bumiputera. Untuk pengetahuan tuan- tuan dan puan-puan, di dalam lima buah GLC terbesar Khazanah (TNB, TM, MAS, Proton dan MAHB), secara puratanya sebanyak 81% daripada eksekutif professionalnya adalah Bumiputera, sebanyak 76% pengurusan Kanan adalah Bumiputera dan 85% Lembaga Pengarah adalah terdiri daripada Bumiputera. Daripada segi pemberian biasiswa pula, lebih 85% penuntut yang ditaja oleh GLC-GLC ini adalah Bumiputera. Ini tidak termasuk perbelanjaan dan saraan jumlah besar berbillion ringgit di dalam pembinaan dan perjalanan universiti-unversiti dan institusi pambelajaran di syarikat-syarikat seperti TNB, TM, UEM, Proton dan MAS.

Kedua, dari segi soal penyempitan peluang ataupun “crowding out”, ingin saya nyatakan bahawa semua GLC telah diarahkan supaya tidak melakukan perkara ini malah lebih dari itu menjadi syarikat payung dan pemangkin di dalam pembangunan usahawan yang berwibawa.

Kita perlu meninjau perkara ini dari segi fakta dan realitinya. Sehubungan dengan ini,ada dua perkara yang harus kita ambil kira. Yang pertama bahawa banyak GLC sebenarnya telah dalam 20-30 tahun yang lepas ini berada di dalam kesempitan. Memang saya orang yang pertama untuk mengakui banyak kesempitan dan kekurangan ini berpunca dari kelemahan pentadbiran dan pengurusan GLC sendiri – kerana itulah kita rancang dan laksanakan program transformasi GLC. Tetapi pada masa yang sama, yang kedua, tidak boleh di nafikan, malah perlu kita bersama mengakui bahawa banyak kesempitan ini juga berpunca dari ancaman luar di mana tidak keterlaluan jika saya menyifatkan sebagai ketidak-adilan ataupun kezaliman ke atas GLC yang pada akhir nya adalah milik pemegang saham yang kebanyakannya adalah milik negara bagi
pihak rakyat jelata. Ini adalah hakikat yang harus di akui, yang mana kelemahan berada di dalam kedua belah, dalaman di GLC dan dari luar GLC.

Khususnya, dari sudut “crowding out” atau penyempitan, walaupun telah selalu di beri arahan, tidak boleh dinafikan ada amalan ini berlaku di kalangan syarikat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat syarikat syarikat milik kerajaan negeri. Walaubagaimanapun bagi syarikat-syarikat Khazanah, yang pada keseluruhannya adalah syarikat-syarikat besar seperti TNB, TM dan UEM seperti dinyatakan, pertindihan ke atas syarikat-syarikat bukan GLC adalah amat kurang jikalau ada pun, malah peranan syarikat-syarikat ini sebagai payung dan pemangkin adalah jauh lebih besar dari kejadian sambilan sebagai yang menindih. Lebih dari itu, juga perlu dinayatakan bahawa syarikat-syarikat ini sendiri selalu berada di dalam keadaan kesempitan sendiri, iaitu “crowded-out, bukan crowding out”. Jadi, jangan terkejut apabila mendengar TNB melaporkan keuntungan RM4 billion, tetapi masih lagi harus meminjam oleh kerana dana aliran wang tunai (cash flow) nya adalah masih negatif, ya ini adalah lebih dari 4
billion negatif. Mungkinkah kekurangan ini disebabkan oleh pengurusan yang tidak cekap, yang tidak efisyen? Jawapannya jikalau diambil kira dari lebih dari RM 1billion setahun pengurangan pembaziran dan peningkatan produktiviti yang berjaya di capai oleh pengurusan TNB beberapa tahun yang lepas ini, di mana angka-angka ini adalah yang bertauliah sememangnya jawapannya adalah tidak; kekurangan dan kesempitan ini adalah lebih disebabkan oleh faktor-faktor lain
termasuk faktor luaran.

Malah, kita lihat di dalam keadaan semasa, telah di kenakan cukai khas atau windfall tax keatas syarikat-syarikat bukan GLC, termasuk syarikat-syarikat IPP atau penjana bebas. Saya harap ini jangan di salah faham sebagai kritikan tidak berasas terhadap IPP atau pesaing-pesaing GLC yang lain; jauh dari itu, syarikat-syarikat seperti IPP dan pesaing-pesaing GLC seperti Air Asia dan lain lain, membawa banyak amalan-amalan efficiency yang baik kepada pasaran kita dan harus terus di berikan setiap galakan untuk terus maju asalkan kemajuan itu berlandaskan saingan yang baik. Syarikat-syarikat GLC semuanya saya ingin maklumkan adalah diarahkan untuk bersaing dengan baik selain dari terus memperbaiki lagi pencapaian kewangan dan operasi masing-masing.

Alhamdulillah, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk memberi penerangan bahawa usaha Program Transformasi GLC yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mei 2004 sehingga akhir November tahun lalu (dalam tempoh tiga tahun setengah) telah mula membawa hasil yang baik. 20 GLC terbesar di dalam program tersebut sudah mencatatkan pertumbuhan
pendapatan yang kukuh dengan keuntungan agregat sebanyak RM19.1 bilion pada tahun 2007 berbanding RM10.0 bilion pada tahun 2004. Dalam tempoh yang sama, secara keseluruhannya, modal pasaran bagi semua 47 GLC yang di senaraikan yang menyertai program ini telah melonjak sebanyak 70 peratus atau RM148 bilion kepada RM361 bilion. Walaupun sudah ada peningkatan yang ketara, kekuatan GLC-GLC ini masih lagi belum kukuh. TNB walaupun telah
banyak pulih, ia masih meminjam; MAS walaupun telah menunjukan suatu pemulihan yang cukup dramatic adalah masih dilanda kos bahan mentah yang melonjak dan seterusnya. Bahkan, sebagai syarikat-syarikat payung adalah penting GLC-GLC ini terus di beri galakan dan pertolongan asalkan galakan dan sokongan ini adalah yang adil dan setimpal

Ketiga, usaha GLC di dalam pembangunan negara, khususnya di dalam agenda usahawan Melayu dan Bumiputera Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk membetulkan suatu salah tanggapan yang kerap timbul bahawa Program Transformasi GLC ini adalah mengenai keuntungan dan wang ringgit semata-mata. Malah, di bawah Program Transformasi GLC, inisiatif membangunkan agenda usahawan Bumiputerasebagai sebahagian daripada polisi Kerajaan adalah dipandang penting sehingga ia dijadikan salah satu pengukur kejayaan dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Transformasi GLC adalah direka untuk memenuhi tiga objektif, iaitu

1. meningkatkan prestasi, efficiency dan produktivit GLC; dan
2. memberi faedah kepada pemegang kepentingan (stakeholders) untuk memacu pembangunan sosial dan ekonomi negara bagi mencapai Misi Nasional dan Wawasan 2020.
3. mempertingkatkan amalan pengurusan dan tadbir urus ataupun
“governance” GLC Khazanah, selaku sekretariat program ini, dalam menerbitkan pelbagai garis
panduan untuk menggalakkan amalan korporat terbaik di kalangan GLC, turut menerbitkan sebuah buku khusus yang dipanggil Buku Merah atau Red Book mengenai Amalan Terbaik Pemerolehan, dengan harapan dapat membantu mewujudkan vendor serta usahawan Bumiputera yang berdaya tahan dan berdaya saing untuk menerajui BCIC.

Sejak pelancaran Buku Merah oleh YAB Perdana Menteri pada 26 April 2006, beberapa perkara asas berkenaan proses serta polisi pemerolehan GLC telah berubah, antaranya dengan meletakkan tanggungjawab pemerolehan GLC di atas bahu Lembaga Pengarah masing-masing; mengimbangi nilai komersial serta tanggungjawab sosial dan menyokong dasar pembangunan negara dengan menggalakkan penggunaan kandungan tempatan yang berdaya saing, memastikan bahagian ekuiti ekonomi Bumiputera serta membangunkan keupayaan vendor Bumiputera untuk menyokong BCIC.

Kita sudah melihat kejayaan awal di TM, TNB dan MAS yang mampu menurunkan kos operasi di dalam situasi sukar tanpa menjejaskan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Setiap tahun, pembekal-pembekal yang berdaya saing dihasilkan. Sudah pasti, di dalam Program Transformasi GLC ini, ada pembekal-pembekal yang tidak dapat bersaing. Di sini, saya menjemput organisasi seperti Perdasama supaya terus meningkatkan daya saing pembekal-
pembekal ini kerana banyak peluang diberikan tetapi ia haruslah ditentukan oleh penambahbaikan kualiti, kestabilan pembekalan serta tawaran jumlah kos pemilikan yang kompetitif.

4. Peranan Usahawan
Program Transformasi GLC ini adalah suatu program jangka panjang. Di dalam fasa ketiga ini, dari 2007 ke 2010, pihak Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) mengharapkan keputusan ketara dari GLC. Pada masa yang sama, PCG mengharapkan penghasilan GLC yang berdaya saing di arena serantau serta global. Ini memerlukan kerjasama erat di kalangan pembekal- pembekal yang mampu meningkatkan keupayaan yang diperlukan. GLC akan memilih pembekal-pembekal berdasarkan merit dan bukan sahaja berdasarkan
kepada status kelayakan sahaja.

Saya mengharapkan pemerolehan GLC terus dipertingkatkan melalui maklumbalas membina pihak Perdasama. Memang benar, jumlah pemerolehan 20 GLC terbesar adalah besar, di dalam lingkungan lebih dari RM50 billion setahun. Seperti yang ditunjukkan dalam contoh-contoh terdahulu, GLC-GLC seperti TM, TNB, UEM dan Proton mengagihkan kontrak kepada pembekal Bumiputera lebih dari RM10 billion setahun tetapi soalannya ialah beraparamaikah di kalangan mereka ini adalah benar-benar pembekal Bumiputera? Saya berharap pihak Perdasama mampu membuat sesuatu supaya ketirisan ini dapat dikurangkan atau dihapuskan terus.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atau MECD, merupakan peneraju utama di dalam usaha membangunkan vendor, mempunyai program 'matching' yang digelar Vendor Network. Saya mahu menekankan supaya pihak GLC serta vendor-vendor mengambil peluang ini untuk meningkatkan visibiliti dan promosi produk serta perkhidmatan masing-masing.

5. Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekelian,

Saya telah cuba menyampaikan pandangan tiga prinsip membina BCIC yakni ekologi, efficiency dan meritokrasi berlandaskan pembangunan dan seterusnya huraian akan peranan GLC dan juga peranan usahawan di dalam usaha ini.

Pada hemat saya, penyatuan ketiga prinsip penting ini adalah kunci untuk membina kekuatan BCIC kita bersama demi untuk pembangunan bangsa dan negara. Jikalau tiada efficiency dan kualiti maka tidak akan berkekalanlah hasil kita, jikalau tiada meritokrasi akan berleluasalah ketidak adilan tetapi harus juga tidak dilupakan bahawa meritokrasi ini haruslah suatu meritokrasi berlandas dan bernafaskan pembangunan yang mana kedua prinsip meritokrasi dan
pembangunan diseimbangkan. Seterusnya, walaupun efficiency ataupun kecekapan wujud dan meritokrasi berlandaskan pembangunan wujud, ini masih tidak mencukupi kecuali kita bersatu di dalam ekologi atau persekitaran di mana setiap pihak; kerajaan, GLC, bukan GLC, persatuan-persatuan seperti Perdasama dan seterusnya harus bekerja sama dengan ikhlas, tekun dan bijak insyaAllah

Di atas semangat memperbaiki diri ini dan permuafakatan berlandaskan keadilan dan pembangunan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Perdasama dan seterusnya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya, bagi pihak Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua, dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perdasama kali ke-10.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warhmatullahhi
wabarakatuh.

No comments: