Perdasama anjur kongres martabatkan bangsa
Sohaimi (tengah) menunjukkan poster Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia yang akan diadakan pada 28 dan 29 Oktober ini. - Foto TRP/ Mokhsin Zamani
KUALA LUMPUR, 7 Oktober:
Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengadakan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia, pada 28 dan 29 Oktober ini.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata penganjuran kongres kali kedua dalam tempoh 10 tahun itu, bertujuan menghimpunkan penggiat seni, budayawan, cendekiawan, penggubal dasar serta pihak berkaitan dalam membuat resolusi untuk memangkin keunggulan warisan seni bangsa Melayu.
“Kongres ini akan membabitkan pameran warisan Melayu seluruh dunia. Kami menyediakan 146 tapak niaga untuk peniaga Melayu mempamer serta menjual barangan warisan Melayu, seperti tikar mengkuang.
“Buat masa ini, gerai tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga Melayu.
“Kini, hanya tinggal 30 tapak niaga kosong. Mana-mana peniaga yang ingin melibatkan diri dalam kongres berkenaan, silalah hubungi kami dengan segera,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir, berkata melalui kongres berkenaan, peserta berpeluang mengetahui rahsia kejayaan peniaga Melayu dari luar negara serta menjalin kerjasama dengan mereka.
“Orang Melayu sering kali dilabel sebagai bangsa yang pemalas, melalui kongres ini, kami akan mengumpulkan bahan-bahan seni orang Melayu, bagi membuktikan bangsa kami adalah sebuah bangsa yang sangat unik dan kreatif,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Norsaadah Ismail, pula berharap kongres berkenaan dapat membuka minda pelajarnya, dengan menghayati karya-karya Melayu yang dihimpun dari seluruh dunia.
“Dengan cara ini, pelajar akan mempunyai motivasi serta lebih yakin terhadap diri sendiri, kerana mengetahui bangsanya mempunyai keunikan tersendiri.
“Kongres ini juga akan membantu UiTM melahirkan graduan untuk pasaran antarabangsa. Ini akan membantu mereka mendapat lebih banyak peluang pekerjaan, setelah tamat pengajian nanti,” katanya.
Kongres itu akan disusuli Majlis Persidangan Antarabangsa dan Pameran, padanan perniagaan, majlis makan malam serta forum bertemakan “Ketahanan dan Kejayaan Usahawan Melayu di Peringkat Global” yang menampilkan ahli panel Melayu dari seluruh dunia seperti Kemboja, Sulawesi Selatan, Thailand, Afrika Selatan, New Zealand dan Jerman.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/07/perdasama-anjur-kongres-martabatkan-bangsa/#ixzz3FVxp42HI
No comments:
Post a Comment