PERDASAMA junjung titah Sultan Selangor Khalid kekal MB
pada 12-08-2014 12:08 Ditulis Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Persatuan Perniaga dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) hari ini tampil menyokong perkenan Sultan Selangor agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata hal itu menyerlahkan kepentingan penyatuan Melayu dan penguasaan Melayu perlu dijaga dan dibela.
Menerusi kenyataan medianya, PERDASAMA turut mempersoalkan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih 'rela' membuang masa mewujudkan perbalahan, lebih-lebih di kalangan masyarakat Melayu.
"Saya hairan kenapa ada sesetengah pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap nasib bangsa Melayu dan lebih suka membuang masa dengan isu-isu pertelingkahan antara satu sama lain terutamanya sesama Melayu.
"Ancaman dan permasalahan yang berterusan hanya merugikan kaum Melayu sendiri dan saya berharap dapat dielakkan pada masa hadapan ini apatah lagi kekecohan yang berlaku ini, hanya diperhatikan sahaja oleh kaum lain dan mereka seperti tidak mahu campur tangan dan hanya melihat Melayu hancur begitu sahaja," katanya.
Menurut PERDASAMA, kemelut politik Selangor yang semakin memburuk ini memberi kesan terhadap kelangsungan bidang perniagaan yang bergantung melalui kerajaan negeri, terutamanya kontrak dimana mereka sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai kerajaan untuk merebut peluang perniahaan.
Lebih membimbangkan terutama terhadap peniaga Melayu yang perlu berniaga dengan kerajaan yang diperintah oleh tiga parti (PAS-DAP-PKR).
Malah perbezaan kenyataan dan pendapat yang dikeluarkan mengenai perbalahan politik ini juga menimbulkan persoalan, sama ada rakyat Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang mencintai sesama bangsa atau hanya gilakan kuasa, ujar PERDASAMA.
"Permasalahan yang timbul di negeri Selangor akan hanya merugikan peniaga-peniaga Melayu. Ini kerana peniaga-peniaga kaum lain khususnya Cina tidak hiraukan masalah sebegini kerana mereka telah menguasai sebahagian besar ekonomi negara yang tidak bergantung kepada kerajaan.
"Tambahan pula, pembekalan barangan yang dijual sama ada makanan, pakaian, industrimotor, bahan binaan, tekstil dan sebagainya hampir semua dibekalkan oleh kaum Cina.
"Dalam masa yang sama, sumber ekonomi penting negara seperti getah, kelapa sawit dan gula telah dikuasai oleh syarikat raksasa bukan Melayu.
"Walaupun ada syarikat GLC seperti Felda dan Sime Darby menguasai keluaran produk penting negara, tetapi sistem ekonomi negara kita yang telah dimonopoli oleh kaum lain yang boleh berdikari ini, boleh terus maju tanpa perlu bergantung dengan pegawai kerajaan dan perniagaan bersama kerajaan," demikian memetik kenyataan media berkenaan.
Semalam Khalid memberitahu Sultan Selangor perkenan beliau untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor kerana beliau masih mendapat sokongan majoriti DUN Selangor.
Bagaimanapun DAP dan PKR mencabar Khalid untuk membuktikan sokongan sebagaimana yang dikatakan Khalid itu.
No comments:
Post a Comment